BEREGU lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani berjaya melangkah ke final Malaysia Masters 2026 selepas menewaskan rakan senegara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik pada aksi separuh akhir di Unifi Arena, Bukit Jalil.

Pasangan yang dikenali sebagai FeiDin itu mempamerkan aksi lebih konsisten untuk mencatat kemenangan straight set 21-18, 21-12 dalam tempoh 33 minit sekali gus mengesahkan tempat ke pentas final.

Kemenangan itu turut memastikan cabaran Malaysia diteruskan dalam acara beregu lelaki selepas pertembungan sesama sendiri membabitkan dua beregu utama negara.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, harapan pasangan muda negara Arif Junaidi dan Yap Roy King terhenti selepas tewas kepada beregu Denmark, Daniel Lundgaard dan Mads Vestergaard.

Beregu Denmark itu menampilkan permainan kemas untuk menundukkan Arif-Roy King 21-19 dan 21-17 sekali gus mara ke final.

Keputusan tersebut menyaksikan final beregu lelaki Malaysia Masters 2026 bakal menemukan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dengan Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dalam perebutan gelaran juara bagi acara beregu lelaki.