PERSIAPAN pemain negara ke Piala Thomas dan Uber sudah bermula dan kini memasuki fasa rundingan, mengenai kekerapan latihan pusat di Akademi Badminton Malaysia (ABM) dengan pemain profesional.
Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh mengesahkan maklum balas positif sudah diterima daripada semua pemain bebas termasuk Goh Jin Wei untuk mewakili negara.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh sahkan semua empat pemain profesional sertai skuad Thomas, Uber.
Menurutnya, semua empat pemain profesional sudah memberi komitmen membantu skuad negara, manakala perincian kehadiran ke latihan pusat masih diperhalusi.
“Kita sedang uruskan sama ada mereka akan hadir latihan pusat secara berkala kerana perkara itu masih dalam perbincangan,” katanya, di ABM, sambil mengesahkan semua pemain akan bergerak awal ke Horsens, Denmark untuk jalani latihan.

Kehadiran Lee Zii Jia dalam skuad Piala Thomas mendatangkan mood baru buat pasukan.
Kenny turut menjelaskan isu jersi pertandingan serta pakaian ketika latihan sudah diselesaikan dan tidak lagi menjadi halangan.
“Kalau mewakili negara memang kena pakai jersi kebangsaan dan untuk latihan pun perkara itu sudah selesai,” ujarnya.
Beliau berkata percaturan pemain serta komposisi pasukan masih dibincangkan jurulatih dengan tarikh akhir penyerahan senarai kepada BWF ditetapkan pada 10 April.