HASRAT juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik merangkul Kejohanan Super 750 di Terbuka India tidak kesampaian apabila tunduk kepada gandingan beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang 21-14 19-21 18-21.

Perlawanan yang mengambil masa satu jam tiga minit itu nyata bermula baik buat pasangan beregu negara yang berjaya mempamerkan variasi serangan di set pertama sekaligus menang 21-14.

Di set kedua, Aaron-Wooi Yik meneruskan aksi cemerlang sehingga angka 11 namun  mereka seakan-akan terikut rentak pasangan China tersebut apabila kerap melakukan unforced errors dan tunduk 19-21.

Di set penentuan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tampil lebih garang dan berjaya mendahului  gandingan China tersebut pada mata ke-14.

Namun, angka tersebut disekat gandingan China itu menyaksikan mereka bermain secara rally dan berjaya mengejar sehingga mata terikat 14-14.

Bermula dari mata 14 tersebut, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dilihat sedikit hilang fokus apabila terus ditinggalkan lawan sehingga mata ke-18.

 

Derita beregu negara berterusan apabila keputusan kontroversi pengadil yang mengganggu momentum pasangan negara apabila melayangkan kad kuning kepada Aaron Chia ekoran mengelap muka dan dikatakan melambat-lambatkan perlawanan.

Insiden tersebut jelas merencatkan rentak beregu ranking ke-3 dunia itu sekaligus tewas 18-21 menyaksikan gandingan tersebut terus kempunan sebarang kejuaraan sejak bergelar juara dunia.

Kekalahan tersebut juga melebarkan rekod head to head 3-0 memihak kepada pasangan ranking ke-17 dunia dari China itu dengan pasangan negara tewas ketiga -tiga pertemuan di Terbuka Perancis 2022 dan Indonesia Masters 2022.