HARAPAN untuk melihat pasangan beregu campuran negara Shevon Lai Jemie dan Goh Soon Huat mengulangi pencapaian gemilang sebagai juara Malaysia Masters tidak kesampaian apabila mereka tersingkir seawal pusingan pertama di Axiata Arena, pada Rabu.
Pasangan pilihan negara tumpas 18-21, 19-21 kepada gandingan Denmark, Mads Vestergaard–Christine Busch dalam aksi yang menyaksikan prestasi mereka sedikit goyah dari segi konsistensi, menurut Shevon yang nyata kecewa dengan persembahan peribadinya.
“Dari sudut prestasi, saya rasa ia tidak konsisten dan itu agak mengecewakan buat saya. Tapi dalam masa sama, ini adalah proses untuk kami kembali mencari rentak dan mencuba sudut permainan yang berbeza.
“Ia ambil masa untuk kami sesuaikan diri di gelanggang,” katanya.
Menggalas status sebagai juara bertahan tentunya menambah tekanan buat mereka, namun Shevon tetap berlapang dada menerima kekalahan ini sebagai ruang pembelajaran untuk tampil lebih versatil di kejohanan akan datang.
Malah, dia mengakui masih optimis melihat perkembangan Soon Huat yang baru pulih daripada kecederaan dua minggu lalu.
“Saya nampak permainan Soon Huat hari ini lebih stabil dan hampir kembali ke tahap asalnya. Itu satu perkembangan positif.
“Cuma kami perlukan lebih banyak masa untuk betul-betul memahami strategi baharu yang sedang kami cuba,” tambah Shevon.
Kekalahan ini nyata meninggalkan rasa bersalah dalam dirinya terhadap ribuan penyokong tempatan yang hadir memberikan sorakan, namun mereka berjanji untuk bangkit semula dalam kejohanan akan datang demi membalas kepercayaan peminat negara.