KETIADAAN Kento Momota langsung tidak menjejaskan persaingan dalam acara perseorangan lelaki.

Hal itu disuarakan pemain nombor dua dunia Lee Zii Jia yang menganggap ketiadaan Momota yang menarik diri dari menyertai Petronas Terbuka Malaysia, tidak memberi apa-apa kelebihan kepadanya.

“Bagi saya tidak banyak kesan (ketiadaan Kento Momota) kerana mengikut undian, Momota akan berdepan (Viktor) Axelsen, jadi jika saya mara, saya akan tetap jumpa salah seorang daripada mereka, tanpa Momota masih ada Axelsen,” kata Zii Jia.

Viktor Axelsen diletakkan selaku pilihan utama akan berdepan rakan senegara di pusingan pertama Rasmus Gemke, dijangka bertemu Momota di pusingan kedua.

Kento Momota tarik diri dari Petronas Terbuka Malaysia.

Namun, dengan ketiadaan Momota, pemain profesional negara Liew Daren mendapat peluang beraksi dan akan berdepan Toma Junior Popov dari Perancis.

Justeru, Zii Jia berkata: “Saya perlu fokus kepada permainan saya sendiri, apa yang saya ada, saya akan turun ke gelanggang dan beri yang terbaik.”

Zii Jia dijadual menentang pemain nombor satu Jepun, Kodai Naraoka di pusingan pertama yang dijangka berlangsung sengit.

Lee Zii Jia mengharapkan bermula baik pada kejohanan pertama 2023, Petronas Terbuka Malaysia.

“Jumpa Naraoka, saya perlu bersedia 100 peratus, tidak kira kondisi dia bagaimana, kerana saya tahu perlawanan akan berlarutan untuk jangka masa yang panjang,” kata Zii Jia.

Ketika menguji gelanggang pertandingan pagi ini, Zii Jia mengakui tetap sukar membaca gerakan angin dalam Axiata Arena.

“Angin di sini memang susah, setiap tahun sama sahaja dan hal ini diakui pemain lain juga. Hanya Datuk Lee (Chong Wei) sahaja tahu bermain di sini,” kata pemain berasal dari Kedah itu.

Zii Jia bagaimanapun berharap agar permulaan 2023 ini menghadirkan keputusan yang baik buatnya, sebelum aksi mengumpul mata kelayakan Olimpik, Mei depan.