PERSEORANGAN  lelaki kedua negara, Ng Tze Yong tidak berdepan masalah apabila mudah menundukkan lawan dari Ireland, Nhat Nguyen 21-4 21-10 dalam aksi yang hanya mengambil masa 35 minit untuk ditamatkan.

Sedar bakal bertemu sama ada lawan senegara, Lee Zii Jia atau Kodai Naraoka dari Jepun, dia menyifatkan akan mengambil perlawanan tersebut sebagai suatu medan untuk mempelajari sesuatu yang baharu kerana kedua-duanya memiliki kehebatan tersendiri.

“Saya rasa saya boleh belajar daripada Lee Zii Jia sebab ranking dia pun berada di No.2 dunia. Kodai Naraoka pun sangat bagus, tetapi apapun yang saya boleh janji,saya akan lawan sehabis baik untuk esok,” kata Tze Yong.

Dalam pada itu, dia juga akan berbincang dengan jurulatih bagi mempertaruhkan aksi terbaik menentang sesiapapun lawan yang bakal ditemuinya esok.

“Saya akan bincang persiapan dengan jurulatih dan saya akan berlawan mata demi mata pada perlawanan esok,” jelasnya.

Selain itu, Tze Yong sempat menzahirkan penghargaan kepada peminat kerana sentiasa memberikan sokongan jitu kepadanya ketika beraksi di gelanggang.

“Mereka (penyokong) memberi sokongan padu kepada saya. Jadi, saya semakin bersemangat ketika bermain,” ujarnya.