PERLAWANAN paling menguji mental, itu antara rumusan yang dibuat beregu wanita negara, Pearly Tan dan M Thinaah selepas perjuangan mereka di Masters China, berakhir di suku akhir.

Berdepan musuh tradisi dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee, sememangnya laluan buat pasangan nombor dua dunia itu dijangka getir dan ianya terbukti menerusi mata yang dipungut kedua-dua seteru dalam ketiga-tiga set.

“Hari ini lebih kepada mental kerana dari segi fizikal saya rasa semua orang di gelanggang kepenatan. Hanya mental yang membuatkan kami terus bertahan dan akhirnya, kami melakukan kesilapan.

“Biarpun mendahului pada mata akhir, mata penamat kami tergesa-gesa,” kata Pearly kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin kandas di suku akhir Masters China.

Pada perlawanan itu, Pearly-Thinaah tunduk 21-23, 21-19, 20-22 dalam tempoh 88 minit sekali gus menjadikan rekod pertemuan kedua-dua pasangan itu terikat 3-3.

Terdahulu,bekas beregu lelaki nnombor satu dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut tersingkir di suku akhir selepas tunduk mudah kepada pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri.

Gandingan ranking ketiga dunia itu gagal mengekang asakan lawan sebelum tewas straight set 16-21, 11-21 dalam tempoh singkat 34 minit sekali gus mengikat rekod pertemuan 1-1.

Setakat ini, hanya Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mara ke separuh akhir dan berpeluang memburu kejuaraan pertama selepas muncul juara dunia Ogos lalu.