TERENGGANU FC (TFC) mahu memburu gol awal dalam misi mendapatkan tiga mata ketika menerima kunjungan Kelantan Darul Naim (KDN) FC, malam esok.
Pengendalinya, Tomislav Steinbruckner, berkata, jaringan awal itu penting untuk mencari momentum seterusnya menguasai 90 minit permainan.
Namun jurulatih kelahiran Croatia itu mengakui prestasi sebahagian besar pemain masih di bawah tahap sebenar sehingga bergelut dalam dua perlawanan sebelum ini.
Steinbruckner berkata, barisan pemain TFC dicabar untuk mencontohi semangat luar biasa Akhyar Rashid dengan meningkatkan prestasi pada perlawanan malam esok.

Pemain TFC dicabar contohi semangat Akhyar atas padang.
“Saya tidak nampak peningkatan ketara dari segi permainan dalam dua perlawanan awal malah kami bermain lebih baik ketika aksi pra-musim bulan lalu.
“Saya tidak mahu menyebut nama tetapi beberapa pemain masih gagal menyinar, hanya Akhyar yang bermain baik walaupun baru berlatih sejak kejadian 2 Mei lalu.
“Namun saya tidak boleh bergantung kepada Akhyar seorang sebaliknya semua pemain perlu meningkatkan tahap permainan jika mahu menang perlawanan pada Jumaat.
“Sudah tentu gol awal boleh membantu TFC mendapat rentak tetapi kami menjangkakan tentangan sengit daripada pasukan lawan,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Kelibat Ivan Mamut belum lagi dapat disaksikan peminat TFC musim ini.
Tambah jurulatih berkenaan, persiapan TFC masih sama tanpa beberapa tonggak yang masih tercedera iaitu Ivan Mamut, Matthew Steenvoorden dan Azam Azmi Murad.
Katanya, beliau berharap tiga peman berkenaan dapat kembali memperkuatkan pasukan selepas kalendar antarabangsa, hujung bulan depan.