TERENGGANU FC (TFC) merampas kedudukan keempat Liga Super daripada Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila mengalahkan pasukan itu 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini.

Skuad bimbingan Nafuzi Zain itu tidak menunggu lama untuk memecahkan kebuntuan melalui Kpah Sherman yang mudah menyambung hantaran leret Faisal Abdul Halim pada minit ke-13.

Pintu gol pelawat yang dikawal Ifwat Akmal Che Kassim nyaris tumpas buat kali kedua pada minit ke-22 mujur bekas penjaga gol negara itu sempat menepis percubaan Petrus Shitembi.

Hanya seminit kemudian KDA berpeluang mengikat kedudukan berpunca gerakan Ariff Farhan Md. Isa namun tolakan Ronald Ngah Wanja di kawasan berbahaya tinggi melepasi sasaran.

Percubaan gol pemain Kedah Darul Aman ketika aksi bertemu TFC. Foto: MFL

Hasrat pelawat untuk mengimbangi permainan terus berkecai apabila rembatan jarak jauh Ariff Farhan menggegar palang pada minit ke-36.

Aksi semakin rancak menuju bilik persalinan giliran TFC menguji kubu KDA malangnya situasi satu lawan satu disia-siakan Faisal (m-43) sebelum tindakan susulan Sherman diselamatkan penjaga gol.

Gol kedua yang dicari TFC akhirnya terhasil menerusi Manuel Ott yang melepaskan sepakan dari luar kotak untuk menewaskan Ifwat pada minit ke-57 untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Pemain berpengalaman, Azamuddin Akil memberikan gol saguhati buat KDA dalam masa kecederaan namun sudah terlewat untuk menghalang kemenangan TFC dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat.