KERAJAAN Terengganu mengumumkan insentif sebanyak RM15,000 kepada pelumba cilik, Qabil Irfan Azlan yang muncul sebagai juara dunia FIM MiniGP di Valencia, Sepanyol bulan lepas.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ganjaran wang itu adalah sebagai mengiktiraf pencapaian Qabil Irfan yang membawa kegemilangan kepadaa negeri dan negara.
Beliau berkata, insentif itu juga sebagai dorongan kepada pelumba muda lain untuk mencontohi kejayaan Qabil Irfan dalam sukan permotoran.
“Inilah juara dunia sukan permotoran di Valencia, Sepanyol yang telah mengharumkan nama negara serta Negeri Terengganu.
“Kerajaan negeri telah menyediakan motosikal yang bernilai RM40,000 untuk kemudahan pelumba cilik ini melakukan persediaan latihan ke pertandingan seterusnya,” kata Ahmad Samsuri dalam catatan di laman Facebook.
Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa menggalakkan pelumba tempatan menyertai kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Kerajaan negeri turut menanggung sebahagian daripada perbelanjaan seorang lagi pelumba MiniGP Hakim Danish Ramli yang muncul juara Piala Bakat Asia di Indonesia tahun lalu.
“Teruslah melakar lebih banyak sejarah dan memberi inspirasi kepada kami semua. Syabas,” katanya lagi.
Pada pusingan akhir Siri Dunia MiniGP FIM di Litar Ricardo Tormo, Valencia pada 23 November, Qabil Irfan mencipta sensasi selepas memenangi tiga perlumbaan untuk menjadi juara dunia dalam kelas 160cc.
ARTIKEL BERKAITAN : Kerajaan Terengganu sedia insentif khas buat Qabil Irfan