FOTO : TFC
TERENGGANU FC (TFC) terpaksa akur diikat tanpa jaringan dengan pasukan ‘adik’, TFC II pada perlawanan penutup Agarbomb Performance Cup 2024 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, pada Ahad.
Keputusan itu bagaimanapun memadai untuk TFC muncul juara aksi pemanas badan empat penjuru itu setelah mengutip lima mata dari pertemuan dengan Penang FC, Kedah Darul Aman (KDA) dan TFC II.
Skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu terlebih dahulu menguji kubu TFC II menerusi Syahmi Zamri pada minit kelapan menyaksikan percubaannya meleret ke sebelah tepi.
Pasukan ‘adik’ kemudian turut hadir dengan peluang terbaik penyerang import, Chukwu Chijioke pada minit ke-21 namun rembatan menariknya ditepis penjaga gol TFC, Syed Muhammad Nasrulhaq.

Barisan kejurulatihan skuad TFC.
Aksi terus rancak setelah TFC juga memiliki peluang keemesan malangnya percubaan Syahmi minit ke-32 ditepis sebelum sepakan kencangnya tujuh minit kemudian menggegar palang.
Saingan babak kedua tampak memihak TFC II yang mempamerkan rentak lebih tersusun malah berjaya mematahkan gerakan direncana TFC yang merehatkan ramai tonggak utama.
Pintu gol TFC terselamat selepas percubaan menarik Chijioke dari luar kotak pada minit ke-72 dikeluarkan penjaga gol untuk sepakan sudut dan kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat.

Perlawanan yang dianggap adik dan abang berkesudahan seri tanpa jaringan.
Dalam pada itu dalam saingan pada sebelah petang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Penang FC meraih kemenangan tonik mengalahkan KDA tiga gol tanpa balas.
Jaringan skuad Harimau Kumbang itu dihasilkan Syameer Kutty Abba minit ke-33, Rodrigo Dias minit ke-43 dan Rahmat Makasuf pada minit ke-60.