SELANGOR FC mencatatkan kemenangan bergaya 2-0 ke atas Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super Malaysia 2024-25 yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.
Skuad Gergasi Merah memulakan perlawanan dengan penuh intensiti dan berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ke-14 menerusi Ali Olwan.
Pemain import dari Jordan itu memanfaatkan peluang hasil hantaran kemas daripada rakan sepasukan untuk meledakkan gol pertama Selangor.
Merah Kuning terus mengasak dan berjaya menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-39 menerusi penyerang berbisa, Ronnie Fernandez.

Ali Olwan membuka tirai jaringan untuk pasukan Merah Kuning.
Pemain dari Chile itu menunjukkan ketajaman di hadapan gawang lawan dengan satu penyudahan klinikal, sekali gus memberikan kelebihan selesa kepada tuan rumah di hadapan kira-kira 3,023 penonton yang hadir sebelum tamat babak pertama.
Separuh masa kedua menyaksikan Sri Pahang cuba bangkit mencari gol, namun pertahanan kukuh Selangor berjaya menyerap segala tekanan yang diberikan oleh pasukan pelawat.
Pasukan pelawat hampir memecah kebuntuan menerusi dua peluang terbaik daripada Mykola Ahapov dan Kpah Sherman, namun tiang gol menggagalkan usaha mereka untuk menewaskan Kalamullah Al Hafiz yang cemerlang sepanjang permainan.
Barisan pemain seperti Aliff Haiqal dan kapten pasukan, Safuwan Baharudin, memastikan gawang pasukan tidak dibolosi sehingga wisel penamat ditiupkan.
KEPUTUSAN MASA PENUH – LS20#LigaSuper2024-25 #LigaMalaysia #DemiLigaKita pic.twitter.com/FKPIga06Ps
— Malaysian Football League (@MFL_MY) February 8, 2025
Anak buah Katsuhito Kinoshi kini memungut 42 mata selepas tampil beraksi 19 saingan liga dan bakal mengalih tumpuan berdepan PDRM FC bagi aksi final pertama MFL Challenge Cup pada 15 Februari depan.
FOTO : SELANGOR FC