PERSATUAN Bola Sepak Thailand (FAT) sedia mengambil langkah tegas dengan mengenakan penalti kepada pemain dan pegawai pasukan susulan kekecohan menentang Indonesia pada final Sukan SEA 2023.

Pertembungan Indonesia dan Thailand yang berakhir dengan skor 5-2 di Stadium Olimpik, Phnom Penh, pada Rabu berlangsung hangat.

Selain dua pegawai yang dibuang padang, penjaga gol Soponwit Rakyart turut dilayangkan kad merah oleh pengadil Matar Ali Al Hatmi. Soponwit dilayangkan kad merah bersama bek tengah Indonesia, Komang Teguh Trisnanda, kerana terlibat dalam tumbukan.

Laporan daripada Thairath, FAT memastikan mereka bersedia untuk mengenakan sekatan ke atas pegawai dan pemain. Sebelum mengenakan sekatan, FAT akan membentuk pasukan penyiasat terlebih dahulu bagi menyiasat sepenuhnya insiden pukul yang berlaku.

“FAT kecewa dan memohon maaf di atas kejadian yang berlaku malam tadi yang telah merosakkan bola sepak Thailand. FA Thai percaya kakitangan kejurulatihan Thailand tidak seharusnya bertindak tidak wajar dan harus bertenang di bawah tekanan. Mereka harus bertindak dan mewakili pasukan kebangsaan Thailand dengan bermaruah dan lebih baik,” kata kenyataan FAT itu.

Pegawai Thailand yang melakukan pukulan itu sendiri telah meminta maaf secara peribadi. Pegawai itu memohon maaf sambil menangis dan memeluk Sumardji yang menjadi mangsa, walaupun ketika itu dia mahu meleraikan kekecohan yang berlaku antara pemain dan pegawai kedua-dua pasukan.