PEMAIN pertahanan Liverpool, Andrew  Robertson mengakui The Reds kini menuju fasa kehancuran prestasi kelab tersebut.

Pemain antarabangsa Scotland itu berkata pasukan perlu mendapatkan kembali keyakinan sambil menambah bahawa mereka sekali lagi mengecewakan penyokong.

Dalam aksi pada Ahad, Liverpool seakan-akan hilang arah biarpun berjaya menemui gol awal menerusi Harvey Elliot namun gagal mengekalkan kelebihan gol apabila Brighton cemerlang bangkit dengan dua gol menerusi Lewis Dunk dan Kaoru Mitoma.

“Di kelab seperti Liverpool, penyokong ada jangkaan tinggi dan tewas menerusi gol terakhir permainan amatlah mengecewakan.

“Kami perlu mula menang perlawanan. Ia mudah untuk dikata tetapi sukar memperbaikinya.

“Musim ini kami langsung tidak cukup bagus. Pada permulaan tahun kami mahukan permulaan yang bagus tetapi ia tidak berlaku. Kami menjadi semakin buruk. Dalam liga kami tidak bagus dan kini kami tersingkir daripada perebutan kedua-dua piala,” jelasnya kepada ITV.

Sebagai rekod, Liverpool tewas 3-0 kepada Brighton awal bulan ini dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

Prestasi menjunam skuad itu pada musim ini terbukti dengan penyingkiran daripada Piala Liga dan berkedudukan kesembilan Liga Perdana Inggeris (EPL).