Paris Saint-Germain (PSG) mencatat kemenangan dramatik 5-4 ke atas Bayern Munich dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara UEFA, sekali gus mencipta antara perlawanan paling sengit di peringkat itu.

Aksi di Parc des Princes menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sejak awal, dengan Bayern terlebih dahulu di depan menerusi sepakan penalti Harry Kane.

PSG kemudian bangkit apabila Khvicha Kvaratskhelia menyamakan kedudukan sebelum Joao Neves meletakkan tuan rumah di hadapan.

Namun, Bayern tidak mengalah apabila Michael Olise kembali mengikat kedudukan, sebelum Ousmane Dembele menyempurnakan penalti pada masa kecederaan babak pertama untuk memastikan PSG mendahului 3-2 ketika rehat.

Memasuki separuh masa kedua, PSG terus menekan dan menambah dua lagi gol menerusi Kvaratskhelia serta Dembele untuk melebarkan jurang kepada 5-2.

Bayern cuba bangkit di penghujung permainan apabila Dayot Upamecano dan Luis Diaz masing-masing menemui sasaran bagi merapatkan kedudukan.

Kapten PSG, Marquinhos menyifatkan perlawanan tersebut sebagai antara aksi paling menghiburkan pernah disertainya.

“Saya pasti semua pencinta bola sepak amat menikmati perlawanan ini. Ia benar-benar menyeronokkan dan inilah jenis perlawanan yang kami impikan sejak kecil,” katanya.

PSG kini membawa kelebihan tipis menjelang aksi timbal balik di Allianz Arena minggu depan, namun Bayern tetap optimis untuk bangkit di laman sendiri.

“Kami terus berjuang dan kembali menghidupkan peluang,” kata Kane.

Keputusan itu menyaksikan PSG semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan, manakala Bayern terus memburu tempat ke final buat kali pertama sejak 2020.

Sumber Gambar: FB PSG