PASTIKAN dokumen dan bukti betul-betul kuat jika mahu mencabar keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)!
Pemerhati sukan tanah air, Afizal Abu Othman berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak boleh terburu-buru membawa kes hukuman FIFA ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) tanpa asas dan bukti yang benar-benar kukuh.
“Kalau nak teruskan ke CAS, kena pastikan dokumen dan bukti betul-betul kuat. Jangan buang masa kalau tak ada asas yang kukuh,” tegas Afizal yang juga Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaya.
Beliau mengingatkan bahawa isu ini bukan sekadar melibatkan soal teknikal, tetapi turut menyentuh maruah dan kewangan negara, justeru sebarang keputusan mesti dibuat secara berhati-hati.

Afizal Abu Othman harap FAM mempunyai bukti kukuh untuk bawa ke Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS).
“Kita kena buat keputusan yang serius sebab ia libatkan maruah dan duit negara. Tapi dalam masa sama, kita kena move on dengan apa yang berlaku,” ujarnya.
Tambah beliau, hukuman FIFA ke atas FAM boleh dianggap ringan dengan denda sebanyak CHF 350,000 (RM1.8 juta), tanpa berdepan penggantuntungan, mahupun diharamkan daripada menyertai kejohanan antarabangsa.
Sementara itu, dalam kenyataan rasmi, FAM menegaskan pihaknya telah mengemukakan rayuan rasmi kepada FIFA berhubung keputusan potongan mata skuad Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Asia, namun bersedia mempertimbangkan langkah ke CAS sekiranya rayuan ditolak.
FAM turut menegaskan bahawa segala tindakan akan dibuat secara teratur dan berlandaskan prosedur antarabangsa, selain memberi jaminan bahawa fokus utama kekal terhadap pembangunan bola sepak negara dan sokongan kepada pemain serta jurulatih.
Afizal dalam masa sama berharap FAM terus memberi keyakinan kepada penyokong dan terbuka terhadap kritikan, kerana semangat penyokong tegar tetap menjadi nadi utama kebangkitan skuad Harimau Malaya, biarpun dilanda ujian getir.