KEJOHANAN hoki Piala Sultan Azlan Shah 2024 kembali dianjurkan untuk edisi yang ke-30 selepas berehat selama setahun ekoran kalendar hoki yang padat pada 2023.
Kejohanan hoki yang berprestij itu akan diadakan di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh bermula 4 sehingga 11 Mei.
Sebanyak enam buah negara daripada tiga konfederasi benua hoki akan bertanding dalam kejohanan ini, termasuk tuan rumah Malaysia.

Ini merupakan penyertaan ke-30 Malaysia dalam kejohanan Piala Sultan Azlan Shah, memenanginya pada tahun 2022.
Selain tuan rumah, pasukan Pakistan, Korea Selatan, New Zealand, Kanada dan Jepun juga akan bertanding dalam edisi kali ini.
Malaysia, Jepun, Pakistan dan Korea Selatan bertanding pada edisi sebelum ini manakala kali terakhir Kanada dan New Zealand terlibat dalam kejohanan ini ialah pada tahun 2019 dan 2017.
The Speedy Tigers akan bermain dalam kejohanan ini sebagai juara bertahan buat pertama kali selepas menjuarai pada edisi tahun 2022 sebelum ini dengan mengalahkan pasukan Korea Selatan dengan keputusan 3-2.

Malaysia turun bermain sebagai juara bertahan buat pertama kali dalam edisi kali ini.
Namun, terdapat perubahan besar dalam barisan kejurulatihan serta pemain yang menyaksikan Sarjit Singh memegang peranan sebagai ketua jurulatih hoki kebangsaan, dengan Piala Sultan Azlan Shah merupakan ujian pertama beliau sebagai jurulatih.
Barisan pemain yang dipanggil pula rata-ratanya merupakan pemain muda yang kurang berpengalaman dalam kejohanan antarabangsa seperti ini.
Sarjit Singh menegaskan bahawa pemain-pemain yang dipanggil ini merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk memberikan mereka lebih banyak perlawanan antarabangsa supaya mereka bersedia menjelang Sukan Asia 2026.

Piala Sultan Azlan Shah 2024 merupakan ujian pertama buat ketua jurulatih hoki negara, Sarjit Singh
New Zealand dijangka menjadi pasukan pilihan untuk menjadi juara selepas dikatakan akan turun dengan skuad terkuat untuk menyiapkan diri untuk Sukan Olimpik Paris 2024. New Zealand satu-satunya pasukan yang bertanding pada edisi kali ini yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik.
Malaysia akan memulakan aksi dalam kejohanan ini pada 4 Mei dengan menentang Pakistan pada jam 8.30 malam.