
THT-TNB tentukan juara Liga Hoki Malaysia pada Sabtu

MAMPUKAH Terengganu Hockey Team (THT) mempertahankan kejuaraan Liga Hoki Malaysia ketika Tenaga Nasional Berhad (TNB) mahu meneruskan amukan jaringan dalam saingan kali ini.
Perlawanan terakhir liga esok penentunya dengan segala kelebihan menyebelahi THT, yang akan melayan kunjungan seterunya itu.
THT kini mengumpul 37 mata hasil 12 kemenangan dan satu seri, hanya dibezakan tiga mata di hadapan TNB, sekali gus menyaksikan pasukan tuan rumah hanbya memerlukan keputusan seri untuk dinobat Juara Liga Hoki Malaysia 2023.
Begitupun, jika mereka tewas, secara matematiknya kedua-dua pasukan memiliki mata yang sama, namun secara automatik TNB akan dinobatkan juara berbekalkan perbezaan jumlah jaringan yang amat ketara memihak TNB.

Waspada rangkaian peledak THT, Faizal Saari, Fitri Saari, Shello Silverius dan Jang Jonghyun. – Jurulatih TNB Nor Saiful Zaini
Pengendali TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, mereka akan mengharungi perlawanan dengan misi kemenangan.
“Kami masih ada harapan menjuarai liga dengan mengalahkan mereka esok,” kata jurulatih itu.
TNB keciciran tiga mata selepas tewas 4-3 kepada THT pada perlawanan Sumbangsih.
Pasukan itu mencapai 11 kemenangan daripada 13 perlawanan, satu seri dan satu tewas.

THT belum tewas dalam saingan Liga Hoki Malaysia 2023. Mampukah mereka ulangi pencapaian musim lalu?
Namun ketajaman jentera serangan tidak dapat dinafikan lagi selepas mereka merekod 84 jaringan dan 22 bolos, berbanding THT, menjaringkan 66 gol dan 17 bolos.
Malah mereka memiliki penjaring terbanyak liga iaitu Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, yang merekod 37 jaringan liga musim ini, berbanding pakar pukulan sudut penalti antarabangsa, Jang Jonghyun dari THT di kedudukan kedua dengan 23 jaringan.
“Ya Azrai lebih matang kali ini, kami harap dapat bermain cemerlang esok dan jika ada saja peluang saya mahukan pemain jaringkan gol.”
Begitupun, Nor Saiful tetap waspada dengan kemampuan THT: “Game esok kami perlu awasi permainan Jang, Faizal Saari, Fitri Saari dan Shello Silverius, mereka cukup mendominasi ketika menyerang.”

Barisan pemain kebangsaan dalam pasukan THT dan TNB, membuatkan aksi dijangka seimbang pada perlawanan terakhir esok.
Sementara kapten THT, Firti menjangkan perlawanan seimbang namunperlu meingkatkan keinginan dalam permainan.
“Kami tidak boleh turun beraksi dengan niat mahukan keputusan seri. Kami perlu menang, kena menang juga kerana jika seri, dalam hoki apa sahaja boleh terjadi meskipun perlawanan berbaki dua minit,” kata Firti.
Sambil mengakui beraksi di laman sendiri memberi kelebihan, mendapat sokongan padu penyokong, semua pemain diingat beraksi demi maruah.
Selain Jang yang menjaringkan 23 gol liga setakat ini, Faizal sudah meledak 11 jaringan, Shello (7) dan Fitri (6)
TNB juga tidak hanya bergantung kepada Azrai kerana Firhan Ashaari juga sudah meledak sembilan gol, kapten Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan (8) dan Muhammad Aminuddin Mohd Zain (6).
Pada tahun lalu, THT dinobat juara Liga Hoki Malaysia 2022, selepas menewaskan TNB pada perlawanan terakhir liga di Stadium Hoki Batu Buruk.