SELEPAS hanya mampu mengutip empat mata dalam sembilan perlawanan Liga Super dan tersingkir dari saingan Piala FA, Kuching City FC kini bakal berhadapan satu lagi cabaran apabila turun menentang Penang FC untuk aksi Liga Super di Stadium Bandaraya pada Khamis.

Terdahulu dalam aksi LS9, Kuching City sekali lagi tewas kepada Sri Pahang FC di laman sendiri namun menyajikan permainan yang lebih baik cuma kegagalan menyempurnakan peluang menyaksikan mereka gagal mengejutkan skuad Tok Gajah.

Penolong jurulatih, Sulaiman Hussin yang dihubungi FLASH SUKAN berkata, meskipun masih belum mencapai kemenangan namun moral para pemainnya masih positif dan mereka masih percaya mereka mampu melakarkan kejutan di Pulau Pinang.

Sulaiman memberikan arahan ketika aksi menentang Sri Pahang

Sulaiman juga menggesa para pemain untuk tidak terlalu menghormati lawan meskipun sedar Penang FC kini berada dalam prestasi terbaik dengan dibarisi pemain import dan tempatan yang mampu memberikan kesukaran kepada Kuching City.

“Kalau ikutkan moral selepas perlawanan menentang Sri Pahang, pemain nampak lebih positif. Kita tahu kekuatan pasukan Penang FC. Mereka berada pada tahap terbaik ketika ini dan pastinya perlawanan yang sukar untuk Kuching City di Stadium Bandaraya.

“Tetapi kami akan beraksi sebaik mungkin meskipun kami percaya Penang FC adalah pasukan pilihan dan yang paling penting adalah pemain kami tidak terlalu menghormati lawan jika mahu mencapai sesuatu dari Pulau Pinang.

Kesebelasan utama Penang FC

“Pemain import mereka seperti Soony Saad, Rafael Vitor, Adriano dan Giovanni Gomez adalah tunjang kepada skuad Harimau Kumbang dan kami perlu berhati-hati dengan pemain ini termasuk gandingan pemain tempatan seperti Nik Akif dan Asnan Ahmad.

“Kami harap satu perlawanan yang bersemangat dapat ditunjukkan oleh para pemain dan dapat keputusan yang positif untuk dibawa ke perlawanan akan datang,” katanya yang masih mempercayai kemampuan para pemainnya.

Penang FC kini dalam kemuncak prestasi selepas memenangi tiga perlawanan berturut-turut dalam Liga Super dan Piala FA dan Kuching City sudah pasti mahu mengelak menjadi mangsa keempat mereka sebelum liga berhenti rehat selama dua minggu.

Sementara itu pengendali Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid tidak mahu memberikan sebarang kenyataan buat masa ini dan hanya menumpukan perhatiannya kepada persiapan pasukan untuk menghadapi Kuching City FC.