PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio memberitahu tindakannya tidak membawa pemain-pemain utama ke Singapura sebagai sesuatu yang luar biasa kerana baginya semua pemain JDT adalah penting serta tiada istilah pasukan utama atau kedua.

Hector tidak membawa Bergson Da Silva, Fernando Forestieri, Jalil Elias dan MVP Liga Malaysia, Arif Aiman Hanapi ketika menewaskan Lion City Sailors 2-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Bishan, Singapura pada Khamis dan dia menganggap penggiliran pemain diperlukan sepanjang kempen pramusim.

Malah, ketua jurulatih kelahiran Venezuela itu juga menegaskan dia mempunyai skuad yang baik dan memahami arahan taktikal untuk menghadapi musim baharu Liga Malaysia yang bakal bermula pada Mei 2024.

Hector Bidoglio gembira dengan prestasi yang ditunjukkan pemain ketika pramusim

“Kami kini berada di pertengahan pra musim dan pemain tunjukkan persembahan yang sangat baik dengan permainan ‘high pressing’ yang sangat memuaskan.

“Saya juga gembira apabila melihat mereka bermain di kawasan lawan kerana di JDT, kami perlu perbaiki prestasi hari demi hari dan mempunyai tanggungjawab besar bagi memastikan penambahbaikan ini sentiasa berlaku.

“Di JDT, semua pemain adalah penting dan kami mempunyai skuad yang baik. Bagi perlawanan menentang Lion City Sailors ini, kami memilih pemain-pemain ini kerana mereka adalah pemain yang baik dan berjaya membentuk sebuah skuad yang bagus,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN selepas perlawanan.

Ditanya apakah yang dia ingin lihat pada corak permainan JDT, Hector menyatakan dia mahu melihat satu permainan yang baik, kemas serta agresif yang akan digunakan ketika kempen pramusim di Sepanyol selepas Aidilfitri.

“Kami mempunyai pasukan yang baik dan mahu bermain dengan kawalan permainan, lebih agresif serta bertambah baik hari demi hari untuk menghadapi musim hadapan yang sukar.

“Kempen pramusim di Sepanyol selama 15 hari akan menyaksikan kami menghadapi tujuh perlawanan persahabatan yang sukar tetapi JDT mempunyai skuad yang besar dan kami sudah bersedia untuk menghadapi semua perkara dan keadaan,” jelasnya.

Bidoglio memberikan arahan dari tepi padang

Dalam perlawanan persahabatan antarabangsa itu, dua gol debut dari Nicolao Dumitru dan Romel Morales pada babak pertama sudah cukup untuk memberikan kemenangan buat Harimau Selatan menjelang aksi kedua menentang lawan yang sama pada 8 April di Stadium Sultan Ibrahim.