SKUAD Hoki Kebangsaan berjaya menepati sasaran awal untuk layak ke peringkat ‘crossover’ Kejohanan Hoki Piala Dunia 2023 dan tambah manis dapat mencatatkan dua kemenangan berturut-turut ke atas Chile dan New Zealand.

Di peringkat ‘crossover’, Speedy Tigers dijadualkan bertemu satu lagi pasukan Eropah, Sepanyol dengan pemenang bakal berhadapan pemenang pingat perak Olimpik Tokyo dan pasukan nombor satu dunia, Australia.

Terdapat tiga perkara positif yang boleh diambil oleh barisan anak-anak buah A. Arul Selvaraj sebelum berhadapan Sepanyol dan ini boleh dianggap sebagai motivasi utama untuk meletakkan Malaysia layak ke suku akhir.

 

Pertama, skuad hoki kebangsaan kini melonjak ke tangga kesembilan dunia selepas kemenangan keatas New Zealand dan ini adalah tonik terbaik menjelang perlawanan dengan Sepanyol yang kini di tangga kelapan dunia.

Selain itu dua kemenangan itu juga memastikan Malaysia mendapat lawan yang setaraf apabila Sepanyol kali ini membawa skuad baharu dengan rata-rata muka baharu sambil dibantu beberapa pemain berpengalaman.

Cuti satu hari yang diberikan oleh Ketua Jurulatih juga dilihat bakal memberikan semangat baharu buat para pemain negara kerana kesihatan mental adalah penting selepas seminggu sibuk dengan aktiviti hoki.

Arul di Bhubaneswar (kredit foto NST)

Dapat dilihat Arul sendiri meluangkan masa bermeditasi di rumah ibadat yang ada di Bhubaneswar sebagai tanda menenangkan diri sebelum menghadapi semula persediaan pasukan untuk perlawanan ‘crossover’ ini.

Kesemua pemain menunjukkan kesungguhan dan kepercayaan diri yang kuat dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan dan perkara yang sama pastinya dituntut Arul dalam aksi seterusnya kerana kemenangan akan menjamin Malaysia lapan tempat teratas di kempen Piala Dunia kali ini.

Skuad Speedy Tigers bakal bertemu Sepanyol pada Ahad di Stadium Hoki Kalinga, Bhubaneswar dan sudah tentu satu lagi aksi hoki kelas dunia bakal ditonjolkan oleh para pemain negara bagi menempah tempat ke suku akhir.