SKUAD Young Tigers mempamerkan semangat juang yang tinggi apabila menewaskan New Zealand 4-2 dalam aksi ketiga Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.

Lebih manis lagi, ia merupakan kemenangan pertama Malaysia ke atas pasukan itu sejak edisi 2018.

Malaysia memulakan perlawanan dengan bergaya apabila Naveenesh Panicker meledak dua gol padang pada minit ke-16 dan 19, disusuli jaringan Ammar Qusyairi seminit kemudian untuk memberikan kelebihan selesa 3-0 pada separuh masa pertama.

Naveenesh Panicker menjaringkan dua gol padang

New Zealand cuba bangkit selepas rehat dengan dua jaringan menerusi pukulan sudut penalti oleh Javahn Jones pada minit ke-44 dan Rocco Ludolph pada minit ke-47.

Muhammad Danish Irfan memastikan kemenangan mutlak Malaysia selepas menambah gol keempat pada minit ke-57 untuk memberi tiga mata pertama buat Young Tigers dalam kempen SOJC tahun ini.

Muhammad Danish Irfan memastikan kemenangan mutlak Malaysia selepas menambah gol keempat pada minit ke-57

Menurut ketua jurulatih hoki Malaysia B-21, Nor Saiful Zaini berkata pemainnya mengikut taktikal yang dirancang beliau.

“Perkara yang positif ialah kami telah merancang permainan dengan baik dan para pemain telah melaksanakan apa yang telah dirancang.

“Dalam kejohanan ini, semua pasukan adalah kuat jadi para pemain perlu tahu bagaiman untuk mengawal permainan, bertenang dan mencari gol tambahan  untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan yang lebih meyakinkan.

Ini merupakan kemenangan pertama Young Tigers keatas New Zealand sejak 2018.

“Saya rasa perkara ini penting menjelang perlawanan menentang Great Britain esok, mereka pasti melihat apa yang berlaku kepada kami (dalam perlawanan ini). Kita akan lihat bagaimana mereka bermain nanti,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Malaysia akan bertemu Great Britain dalam aksi keempat Piala Sultan Johor 2025 esok jam 6.15 petang di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.