KEMAMPUAN melakukan pecutan yang baik dalam larian amat penting buat seorang atlet lompat bergalah, kerana larian yang baik membantu teknik lompatan yang berkualiti.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan Manshahar Abd Jalil berkata, banyak teknik diperlukan untuk mendapat tahap ketinggian yang baik dalam lompat bergalah dan tidak ramai atlet yang mempunyai kelebihan dalam larian.

Kenyataan Manshahar itu merujuk kepada atlet lompat bergalah wanita negara, Nor Sarah Adi yang mempunyai kekuatan dalam melakukan pecutan seperti acara 100 meter (m).

Nor Sarah Adi ketika beraksi di Sukan SEA Vietnam 2021.

“Dalam lompat bergalah, atlet perlu melakukan pecutan ketika berlari, bagi mendapatkan momentum.

“Momentum ketika melakukan lonjakan itulah membantu tahap ketinggian lompatan dan Sarah memiliki kelebihan itu,” kata Manshahar.

Justeru, Manshahar berkata, beliau tidak akan menghalang Sarah daripada menyertai acara pecut seperti 100m, di peringkat kebangsaan.

“Sebagai jurulatih peribadi Sarah, saya galakkan dia mengambil bahagian dalam acara pecut di peringkat persediaan dan tempatan, tapi di pentas antarabangsa, saya nak Sarah fokus kepada lompat bergalah,

“Momentum pecutannya dalam acara 100m berguna dalam meningkatkan ketinggian lompat bergalah.

“Bagi saya, tidak ada gunanya Sarah serius dalam acara pecut kerana jika dia (Sarah) melakukan larian dengan masa 11.80s sekalipun, dia tidak dapat menang pingat emas di Sukan SEA. Mungkin boleh layak ke final sahaja. Tapi jika kelajuan itu dimanfaatkan dalam lompat bergalah, dia boleh merakam rekod Sukan Asia,” kata Manshahar lagi.

Momentum pecutan dalam acara pecut penting untuk seorang atlet lompat bergalah meningkatkan ketinggian lompatan.

Sebagai rujukan, rekod 100m wanita Sukan SEA adalah milik Lydia De Vegar dari Filipina iaitu 11.28s manakala rekod acara lompat bergalah 4.25 m milik Natalie Uy dari Filipina.

Manakala rekod Sukan Asia dalam acara 100m wanita pula 11.15s milik Susanthika Jayasinghe, dan lompat bergalah milik atlet China, Li Ling 6.40m.

Sarah meraih pingat emas Sukan SEA Hanoi dalam acara lompat bergalah dengan lompatan 4m.