KEJAYAAN pemain golf negara Ervin Chang yang menamatkan ketandusan pingat selama 21 tahun dalam acara golf bagi temasya Sukan SEA membuktikan sukan golf negara berpotensi terus berkembang maju, terutamanya buat generasi muda.
Presiden Persatuan Golf Junior Malaysia (MGJA), Datuk Irmohizam Ibrahim memberitahu, kemenangan berprestij Ervin yang menghadiahkan pingat emas dalam acara golf individu lelaki di Heron Lake Golf Course & Resort pada Ahad, turut menjadi pembakar semangat buat semua golf negara.
“Ia membuktikan bahawa sukan golf di Malaysia mampu berkembang, bakat seharusnya dicungkil, diasah dan digilap dengan minat serta kerjasama daripada kelab golf.
“Kelab-kelab golf juga seharusnya beriltizam dan saling melengkapi antara satu sama lain terutama dalam pengurusan dan kemudahah yang terbaik kepada mereka,” kata dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jesteru, Irmohizam turut menyarankan agar sukan golf lebih dipromosikan kepada anak muda selain mencungkil bakat mereka hingga ke peringkat antarabangsa melalui kerjasama latihan dengan institusi pengajian awam serta swasta.
Ervin mencipta sejarah dengan muncul selaku wakil Malaysia memenangi pingat emas individu lelaki apabila menewaskan Amadeus Susanto Christian (70-21-68) dari Indonesia dalam perlawanan ‘playoff’ tiga lubang selepas kedua-duanya terikat pada kedudukan tujuh di bawah par 209 selepas mengharungi tiga pusingan.