SKUAD wanita MBSJ FC tidak mahu menjadikan alasan sukar berkumpul untuk latihan sebaliknya tetap fokus bagi menghadapi aksi final FAS Women’s Super League menentang UPNM FC.

Ketua pasukan, Steffi Sidhu juga mahu dia dan rakan-rakan sepasukannya mencipta kejayaan untuk membuktikan kredibiliti mereka selepas insiden pembatalan penyertaan pada musim lalu.

“Dia juga tidak mahu memikirkan tentang keputusan pada perlawanan akhir itu sebaliknya hanya mahu fokus dan memberikan aksi terbaik bersama rakan-rakan sepasukannya yang gembira sampai ke peringkat ini.

“Setakat ini kami menjalani latihan pada Selasa, Khamis dan Jumaat sebagai persiapan ke final. Kesemua pemain bersemangat dapat masuk final kerana kami dapat buktikan kami layak selepas apa yang terjadi musim lalu.

“Apa yang kami lakukan sebagai unit ini adalah pencapaian yang boleh dibanggakan dan apa yang terjadi pada final kita tidak tahu tetapi masuk ke final ini sudah dikira bagus kerana kami bukan pemain profesional.

“Sukar untuk kami ada pasukan yang lengkap ketika latihan kerana ramai yang terikat dengan komitmen kerja terutama mereka yang bekerja sebagai anggota polis namun ini bukan alasan untuk kami tidak bersedia untuk final ini,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Skuad MBSJ meraikan kejayaan layak ke final.

Steffi juga mahu memberikan kejayaan buat MBSJ yang dilihat banyak menyokong penglibatan mereka dalam sukan dan dia sudah menganggap pasukan dan majikan ini sebagai satu keluarga.

“Saya dan ada beberapa pemain bekerja di MBSJ termasuk semua staf kejurulatihan. MBSJ adalah satu organisasi yang menyokong penglibatan dalam sukan dan ianya inisiatif yang baik dari PBT ini.

“Pasukan ini umpama keluarga kerana kami tahu kelebihan dan kekurangan masing-masing dan kami membantu untuk memperbaiki pasukan dengan semangat satu hati,” tambahnya.

MBSJ layak ke final selepas menewaskan Kelana United Kelana United 8-7 manakala UPNM FC menang ke atas FC Spicegals 4-3 dengan kedua-dua perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.