TONI Kroos akan kembali menyertai pasukan kebangsaan Jerman selepas mengumumkan persaraan tiga tahun lalu.

Pemain tengah Real Madrid itu mendedahkan alasannya kembali bersama pasukan kebangsaan Jerman yang mempunyai cita-cita untuk memenangi Piala Eropah 2024.

“Kawan, pendek dan ringkas: Saya akan bermain untuk Jerman sekali lagi mulai Mac,” tulis Kroos di Instagram sambil memuat naik gambar memakai jersi Jerman.

“Kenapa? Kerana saya ditanya oleh jurulatih pasukan kebangsaan. Saya sanggup berbuat demikian dan percaya ada banyak perkara yang boleh dilakukan bersama pasukan dalam Piala Eropah, lebih daripada yang dipercayai ramai orang,” jelas Toni Kroos.

Kroos membuat penampilan sulung bersama pasukan kebangsaan Jerman pada 2010. Sosoknya tidak boleh digantikan di bahagian tengah Die Mannschaft walaupun dia sering bertukar jurulatih.

Secara keseluruhan Kroos telah membuat 106 penampilan untuk pasukan kebangsaan Jerman dengan pungutan 17 gol. Dia menjadi salah seorang pemain tonggak Jerman apabila memenangi Piala Dunia 2014 di Brazil.

Bekas pemain Bayern Munich itu memutuskan untuk bersara pada 2021, tidak lama selepas Jerman tewas kepada England 0-2 dalam pusingan 16 terakhir Piala Eropah 2020.

Selepas bersara daripada pasukan kebangsaan Jerman, Kroos kekal konsisten di Real Madrid. Pemain tengah berusia 34 tahun itu bahkan telah menunjukkan prestasi terbaiknya di El Real musim ini.

Prestasi baik Kroos membuatkan jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann memintanya kembali ke dalam skuad. Kroos turut menerima tawaran jurulatih untuk menaikkan semangat pasukan kebangsaan Jerman.