MELAKA berharap lebih banyak acara sukan antarabangsa dianjurkan di negeri itu.

Yang Dipertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam sendiri menyuarakan hasrat itu,  yakin Melaka mampu menjadi tuan rumah yang baik.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Karate Dunia (WKF) berkata, penganjuran acara bertaraf dunia, akan membantu negara melahirkan lebih ramai atlet berkelas dunia.

“Saya berharap akan lebih banyak kejohanan besar akan diadakan di Melaka ini, supaya kita dapat tingkatkan keupayaan atlet yang kita.

“Ia juga dapat membantu dalam pungutan pingat terutamanya memenangi emas,” katanya.

Mohd Ali berkata demikian selepas menutup Kejohanan Karate Asia 2023, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), semalam.

Hadir sama, Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) Datuk Wira Nur Azmi Ahmad; Exco Belia, Sukan dan NGO VP Shanmugam dan Speker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum.

Beliau yang juga Penaung MAKAF berkata, besar harapan buat atlet karate untuk terus mencipta kejayaan dalam kejohanan yang disertai termasuk selepas berjaya melayakkan diri ke Temasya Olimpik 2020 lalu.

“Saya juga berharap Malaysia dapat mencipta kejutan seperti dilakukan atlet Hong Kong yang mengejutkan Jepun dalam kejohanan ini,” katanya.