DUA pemenang pingat acara angkat berat pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 disahkan positif bahan terlarang jenis ‘anabolic androgenic steroid’ oleh Agensi Anti-Dadah Malaysia (Adamas).

Tanpa menyatakan warna pingat yang dimenangi, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Datuk Ayub Rahmat berkata, kedua-dua atlet lelaki itu datang dari salah satu daripada dua negeri yang dicadangkan untuk digantung persekutuan daripada menyertai temasya sukan dwitahunan itu.

“PABM menerima keputusan doping tersebut menerusi surat daripada Adamas yang bertarikh 23 Disember lepas. Kedua-dua mereka didapati positif doping steroid yang diklasifikasikan sebagai S1 dalam senarai bahan terlarang Agensi Anti-Doping Dunia (Wada).

“Adamas juga sudahpun menghantar surat kepada dua atlet berkenaan, yang mana mereka mempunyai 14 hari untuk membuka sampel B sebelum 10 Januari tahun hadapan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Ayub Rahmat tidak setuju tindakan MSN benarkan penyertaan atlet dari negeri yang terbabit doping di Sukma 2022, namun Majlis Sukan Negara berkeras dan mengambil alih penganjuran acara itu. Kini angkat berat terus digegarkan dengan isu doping di temasya terbabit.

Ayub berkata, sekiranya kedua-dua atlet itu membuat keputusan membuka Sampel B, ia perlulah ditanggung sendiri dengan kos US$350 dengan bantuan makmal di Doha, Qatar, dengan kehadiran atlet atau wakil atlet itu sendiri.

Sekiranya mereka tidak bercadang mencabar keputusan Adamas menerusi Sampel B, Ayub berkata Adamas seterusnya akan menetapkan tarikh untuk kedua-dua atlet berkenaan memberikan penjelasan.

“Kedua-dua mereka kini digantung sementara. (Bagaimanapun) hukuman maksimum kepada atlet (bagi kesalahan ini) adalah penggantungan empat tahun.

“PABM memandang serius kes doping dalam sukan angkat berat terutamanya dalam konteks pembangunan sukan ini di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau sekali lagi mengulangi pendirian bahawa PABM tidak melibatkan diri daripada mengendalikan SUKMA edisi ke-20 itu kerana penganjur membenarkan dua negeri yang terlibat doping menyertai temasya tersebut sekali gus tidak menghormati keputusan PABM.

Dalam nada kecewa, Ayub berkata, meskipun Sukma itu berlangsung, ia tidak diiktiraf oleh PABM kerana penganjur tidak bersetuju dengan pendirian pihaknya itu.

Sebelum ini, tiga atlet angkat berat, dua dari Terengganu dan seorang dari Perlis, gagal ujian doping beberapa hari sebelum temasya sukan itu bermula.

Susulan insiden itu, PABM telah menarik diri daripada SUKMA berkenaan, selepas penganjur membenarkan dua negeri tersebut menyertai temasya itu.