PEMBEKAL bahan mentah biofuel Malaysia, FatHopes Energy telah menjalinkan kerjasama dengan kelab bola sepak Selangor FC sempena kempen Ganjaran Merah Kuning.

Kempen ini tidak hanya memberi tumpuan kepada kelestarian alam, tetapi juga telah menawarkan pelbagai ganjaran menarik buat penyokong bola sepak yang menyahut cabaran untuk mengumpul minyak masak terpakai sepanjang 30 hari di bulan Ramadan.

Setiap minyak masak terpakai yang disumbangkan akan memberi pulangan yang berbeza, seperti peluang untuk memenangi tiket perlawanan Selangor FC, baucar untuk barangan kelab, dan peluang untuk memenangi cabutan bertuah ‘Hari Ganjaran Ramadan’.

Lagi banyak sumbangan minyak masak, maka besarlah ganjaran buat mereka. Oleh itu, pihak terbabit telah menetapkan kadar serta ganjarannya seperti kategori Ganjaran Merah (1-5kg minyak masak), penyokong layak untuk mendapatkan satu tiket perlawanan (home match) di peringkat kedua dengan baucar pembelian RM5 untuk barangan kelab dan layak menyertai cabutan hadiah utama.

FatHopes dan Selangor FC seru peminat dan penduduk Selangor FC untuk sertai kempen kitar semula ini.

Manakala pada tahap Ganjaran Kuning (6-10kg minyak masak), penyokong akan menerima ganjaran yang lebih besar termasuk tiket perlawanan (home match) peringkat pertama, RM10 baucar dan tiga peluang untuk memenangi menyertai cabutan hadiah utama.

Dalam cabutan hadiah Hari Ganjaran Ramadan itu, mereka berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik seperti baucar makanan segera, barangan kelab dan hadiah eksklusif dari rakan strategik Selangor FC.

Kerjasama ini bukan sahaja memperlihatkan komitmen FatHopes Energy dan Selangor FC terhadap kelestarian alam, tetapi juga memberi kesempatan kepada penyokong untuk turut menyumbang ke arah pemuliharaan alam sekitar sambil mendapat ganjaran yang berharga dari kelab kesayangan mereka.

Penyokong yang berminat boleh menyertai kempen kitar semula minyak masak ini di gerai yang ditetapkan iaitu berlokasi di bazaar Ramadan Seksyen 13, Seksyen 17 dan Seksyen 19.