KAPTEN skuad Malaysia B-23, Muhammad Ubaidullah Shamsul mengakui kelekaan barisan pertahanan serta kegagalan memanfaatkan peluang terhidang menjadi faktor utama kekalahan 0-2 kepada Filipina dalam aksi pembukaan Kumpulan A Piala ASEAN Mandiri B-23 2025 semalam.

Ubaidullah yang diberi kepercayaan menggalas lilitan kapten di Stadium Gelora Bung Karno menyifatkan kekalahan itu sebagai satu pengajaran penting buat dirinya dan rakan sepasukan untuk memperbaiki kelemahan menjelang dua aksi penting menentang Brunei dan tuan rumah, Indonesia.

“Kita terlalu leka ketika menyerang, sampai terlupa struktur pertahanan. Defensive line kita terlalu tinggi dan Filipina bijak ambil kesempatan,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Menurutnya lagi, kekalahan ini tidak memadamkan semangat pemain sebaliknya menjadi pencetus kepada kebangkitan menjelang aksi kedua nanti.

“Ya, kami pilih jalan yang lebih sukar sekarang. Tapi selagi peluang ke separuh akhir masih ada, kami akan terus berjuang dan percaya kami boleh bangkit. Dua kemenangan wajib jadi misi,” jelasnya penuh semangat.

Skuad Harimau Muda dijadualkan bertemu Brunei pada perlawanan kedua Kumpulan A pada Jumaat ini sebelum menutup kempen peringkat kumpulan menentang musuh tradisi serantau, Indonesia pada isnin (21 Julai).