KEM latihan intensif di Hangzhou, China, menjadi tonik luar biasa buat skuad karate negara dalam misi memburu emas di Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.
Pemangku ketua jurulatih karate kebangsaan, R Sharmendran berkata,kem karate Asia itu memberi manfaat besar buat skuad karate negara.
“Kem di China itu sangat bagus… ia bukan sekadar ‘tryout’, tapi platform untuk kita meneroka pelbagai aspek dengan bertemu jaguh dari negara kuasa besar,” kata Sharmendran, ditemui baru-baru ini.
Tambahnya, kehadiran pemenang pingat Olimpik dari China, Gong Li yang turut menjalani latihan bersama di kem itu, menjadi pengalaman amat berguna buat atlet negara.

Pemangku ketua jurulatih karate kebangsaan, R Shamendran optimis dengan prestasi semasa karateka negara, untuk memuncak di Bangkok, Thailand.
Malah, skuad negara turut diuji dengan aksi kompetitif menentang atlet dari Hong Kong, Macau dan Filipina.
Sharmendran juga memuji semangat luar biasa atlet negara yang sanggup berkorban tanpa banyak rehat, mengikuti latihan serta menyertai satu kejohanan ke satu kejohanan.
Dalam pada itu, mengulas sasaran di Sukan SEA nanti, beliau menegaskan tiada istilah penumpang dalam skuad negara kerana setiap atlet yang bakal diturunkan perlu tampil dengan mentaliti untuk menang dan bukan sekadar menyertai.
“Kalau tanya saya, ada 20 kategori, saya nak 20 emas,” katanya yakin dengan potensi sebenar barisan atlet negara, namun menyerahkan sasaran pingat kepada pengurusan persatuan.