PEMILIK Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkongsi mengenai Ketua Jurulatih Kebangsaan Kim Pan-gon yang sentiasa ‘update’ kepadanya mengenai kesebelasan utama yang akan diturunkan sejurus barisan kejurulatihan membuat keputusan.
Pendedahan ini dilakukan TMJ menerusi Instastory beliau yang turut menunjukkan tangkap layar kali pertama Pan-gon menghantar pesanan ringkas kepadanya sejurus JDT muncul juara Piala Sumbangsih Februari lalu.
Pengendali kelahiran Korea Selatan itu mempunyai rasa hormat yang tinggi kepada TMJ di mana beliau secara terang menyatakan TMJ adalah individu yang banyak meningkatkan mutu liga dan juga pembangunan bola sepak Malaysia dan kini Harimau Malaya berjaya menuai hasilnya layak ke Piala Asia.
Perkongsian TMJ ini dibuat selepas skuad kebangsaan mara ke Piala Asia 2023 selepas menewaskan Bangladesh pada aksi terakhir saingan Kumpulan E Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa malam.
Semua juga maklum bahawa JDT membekalkan majoriti pemain mereka untuk menyertai skuad kebangsaan kerana kebanyakan pemain mempunyai pengalaman bermain di peringkat antarabangsa terutama di pentas Liga Juara-Juara AFC.