TULAR di laman sosial apabila penyokong Selangor FC yang diwakili UltraSel memuat naik hantaran mengutuk keras tindakan pemain kelab itu yang memperagakan jersi kelab asing ketika majlis rasmi pasukan.

Skuad Selangor FC telah dijemput sebagai tetamu untuk sesi berjumpa penyokong dan memeriahkan pertandingan sepakan penalti di Program Madani Rakyat 2024 yang berlangsung di Stadium Kuala Selangor pada Ahad.

Namun apa yang tidak digemari oleh para penyokong setia Selangor adalah mengapa pemain yang mewakili kelab dan hadir sebagai tetamu memakai jersi kelab Liga Perdana Inggeris dan tidak memakai jersi atau baju rasmi Selangor FC.

Slogan ‘respect’ telah dilaungkan UltraSel yang bertanya kepada kelab dimanakah kawalan yang sepatutnya diberikan kepada pemain dan mengapa perkara ini terjadi sekaligus menggambarkan sikap tidak prihatin kelab terhadap perkara ini.

“Pintar dalam bekerja, bodoh dalam urusan menjaga Kebanggaan Kelab. Tiada protokolkah? terlepas pandang? perkara remeh? Jika benar kiblatnya bola sepak Eropah kena tahu pula di Eropah tiada pula perkara lucu ini berlaku bahkan jika ada nescaya sudah kena terajang keluar si pelaku. Acara kelab tetapi identiti kelab lain pula dipertontonkan, sungguh lucu.

“Dah pesan kawal pemain, kawal staf, kawal pekerja. Kalau pekerja pun tidak boleh ‘respect’ majikan, ambil tindakan. Bukan tutup mata senyum lebar. Majikan ada kuasa untuk denda pekerja yang tidak ‘respect’ majikan.

“Sering diingatkan dan ditekankan soal menjaga nama Kebanggaan, jangan meremehkan soal tersebut. Kelak kelucuan demi kelucuan ditonjolkan maka nilai Kebanggaan itu sama tinggi dengan kebodohan. Prestij dan identiti kelab harus dijunjung kemas kerana tidak ada individu lebih besar dari kelab,” tulis kenyataan itu.

Gambar yang tular dan menjadi persoalan penyokong Selangor FC

Sebagai pemain, mereka seharusnya perlu lebih cakna tentang profesionalisme dan minat. Tidak salah untuk meminati tetapi jangan sampai mengkhianati kelab dan para penyokong yang sentiasa sedar akan semua perkara yang dilakukan.

Pihak pengurusan juga perlu lebih tegas dan menyediakan protokol yang jelas agar nama kelab sentiasa dipandang tinggi dan mereka juga perlu sedar bahawa logo kelab itu adalah jenama dan kebanggaan yang besar nilainya.