DUNIA bola sepak Asia Tenggara memasuki era baharu apabila Kejohanan utama bola sepak lelaki anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) kini dikenali sebagai ASEAN Hyundai Cup™, hasil kerjasama strategik dengan gergasi mobiliti global, Hyundai Motor.

Pengumuman rasmi dilakukan dalam satu sidang media di Jakarta hari ini, menandakan permulaan kerjasama sulung Hyundai bersama bola sepak ASEAN – selepas lebih dua dekad menjadi rakan utama kepada FIFA dan CONMEBOL di pentas antarabangsa.

Trofi Asean Hyundai Cup 2026 yang bakal menjadi rebutan negara-negara seantau Asia Tenggara.

Kerjasama ini dimuktamadkan menerusi SPORTFIVE, rakan komersial eksklusif AFF, dan turut melibatkan penajaan tiga lagi kejohanan utama rantau ini – ASEAN Club Championship Shopee Cup™, ASEAN Women’s MSIG Cup™ dan ASEAN U-23 Championship™. Keempat-empat kejohanan kini dijenamakan di bawah payung ASEAN United FC.

Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth menyifatkan penyertaan Hyundai sebagai rakan penaja utama adalah langkah signifikan yang selari dengan aspirasi pertubuhan itu untuk terus memperkukuh pembangunan bola sepak di Asia Tenggara.

“Kami berbangga menyambut Hyundai sebagai rakan penaja utama ASEAN Hyundai Cup™. Komitmen mereka terhadap inovasi dan bola sepak global amat seiring dengan misi AFF untuk memacu pembangunan bola sepak serantau,” katanya.

Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth (kiri) berjabat tangan bersama Presiden Hyundai Motor Asia Pacific, Sunny Kim.

Dengan angka tontonan mencecah 541.5 juta penonton dan lebih 12 bilion tontonan media sosial bagi edisi 2024, kejohanan ini bukan lagi hanya acara serantau malah kini disasarkan untuk melonjak sebagai acara bertaraf antarabangsa dengan sentuhan jenama berwibawa seperti Hyundai.

Ini bukan sahaja membuka lembaran baharu buat bola sepak ASEAN, tetapi juga mencerminkan peningkatan pengaruh ekonomi dan sosial rantau ini di pentas global, seiring dengan lonjakan prestasi pasukan kebangsaan ASEAN di gelanggang antarabangsa.