BEKAS pertahanan Selangor FC, Razman Roslan mendedahkan punca sebenar pasukan Selangor FC gagal mendapatkan gol yang banyak meskipun memiliki beberapa peluang terhidang adalah disebabkan kelemahan pemain import pasukan.
Jelasnya, pertemuan menentang Terengganu FC dilihat agak sukar memandangkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu gagal menyumbang gol yang banyak di jentera serangan.
Selain itu, Razman menyifatkan pemain import yang ada bersama skuad Gergasi Merah pada ketika ini berada pada tahap yang sama seperti pemain tempatan.

Justeru, pemilihan pemain import baharu perlu dilakukan dengan teliti kem Selangor bagi menghadapi saingan pada musim hadapan.
“Saya nampak paling utama sekali pemain import. Sebagai pemain import Selangor FC, saya rasa pada masa ini, tahap mereka tiada bezanya dengan pemain tempatan.
“Pemain import perlu berusaha lebih lagi untuk mendapatkan keputusan yang baik. Sepatutnya, pemain import yang ada itu perlu menyumbang lebih dari pemain tempatan yang ada.
“Sekiranya import baik, saya rasakan pasukan Selangor FC mampu dapatkan keputusan yang baik,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Dalam pada itu, anak jati Selangor itu percaya kepada kemampuan pemain muda tempatan yang dilihat akan menjadi semakin baik dan kompetitif dalam tempoh 2 hingga 3 tahun akan datang.
“Saya rasa pemain tempatan tiada masalah. Mereka boleh bermain sama tahap dengan pemain import. Boleh diperbaiki prestasi mereka, saya rasa tiada masalah.
“Pemain lokal Selangor terdiri dari ramai pemain muda. Saya rasa itu juga satu kelebihan untuk jangka masa panjang. Kalau boleh disimpan lebih lama, diberi ruang, saya rasa untuk pemain tempatan akan ada perubahan dalam masa 2 – 3 tahun,” jelasnya.
Razman turut berpuas hati prestasi Selangor FC di bahagian pertahanan, namun merasakan komunikasi antara penjaga gol dan barisan pertahanan Selangor FC perlu ditambah baik agar pasukan kurang mengalami bolos.

“Saya rasa mungkin perlu tingkatkan dari segi komunikasi dan organisasi di bahagian pertahanan perlu dipertingkat. Komunikasi antara penjaga gol dan backline pasukan Selangor amat penting,”kongsinya.
Bagaimanapun, pemain berusia 38 tahun itu mengakui kehadiran Tan Cheng Hoe merupakan titik tolak kepada kebangkitan pasukan Selangor FC yang nyata pincang semasa berada di bawah kendalian Michael Feichtenbeiner.
“Saya rasa sejak kebelakangan ini sudah banyak penambahbaikan dibuat oleh Selangor FC. Kehadiran jurulatih Tan Cheng Hoe juga banyak memberi impak besar kepada pasukan Selangor,” tambahnya.