MUNCUL sebagai debutan di Piala Asia B-23 bukan membawa erti ‘underdog’ buat pasukan Indonesia malahan mereka membawa semangat jati diri yang cukup kuat sehingga berjaya layak ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan Republik Korea 11-10 menerusi penentuan penalti selepas terikat 2-2 sepanjang 120 minit permainan.
Lebih manis, penyingkiran Republik Korea itu direncanakan oleh bekas pelatih mereka sendiri, Shin Tae-yong yang berjaya mencipta satu pasukan gergasi meningkat naik di kalangan anak-anak muda Indonesia dari seluruh dunia.
Gabungan pemain lokal dan warisan yang bermain di peringkat tertinggi liga Eropah, Tae-yong berjaya membentuk satu skuad yang mantap, berani bermain bola sepak dan sentiasa membawa nama negara dengan dukungan tidak berbelah bahagi dari penyokong yang sentiasa membanjiri stadium.
🌟 𝐒𝐄𝐌𝐈-𝐅𝐈𝐍𝐀𝐋𝐈𝐒𝐓𝐒 🌟
The moment when a dream becomes reality. 🇮🇩 Indonesia are in the semi-finals for the first-time ever!#AFCU23 pic.twitter.com/lqbvaHYjhz
— #AsianCup2023 (@afcasiancup) April 25, 2024
Indonesia kini hanya selangkah ke Sukan Olimpik Paris 2024 dan tambah menarik, kejayaan menyingkirkan Republik Korea ini juga bermaksud Garuda Muda berjaya menyekat kemaraan Taeguk Junior ke Sukan Olimpik buat kali ke-10 berturut-turut – satu kegagalan yang cukup besar buat negara gergasi bola sepak Asia itu.
Malah, Presiden Persatuan Bola Sepak Korea (KFA), Chung Mong-gyu yang dilaporkan media tempatan mungkin akan melepaskan jawatannya atas kegagalan ini selain kegagalan di Piala Asia 2023 sebelum ini.
“Jika tewas kepada Indonesia yang sememangnya satu pasukan yang cukup baik dan gagal layak Sukan Olimpik, ianya akan menjadi sesuatu yang cukup aib buat KFA.
“Presiden KFA akan berada dalam tekanan untuk melepaskan jawatannya jika perkara ini terjadi kerana pelbagai perkara tidak baik berlaku dalam bola sepak Korea sejak beberapa tahun ini,” lapor media tempatan.

Shin Tae-yong kini melihat projek bola sepaknya di Indonesia menjadi kenyataan
Perkara-perkara ini seharusnya dipelajari dan dicemburui oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mana skuad muda negara tersingkir awal dari kejohanan dan menjadi pasukan tercorot dari 16 pasukan bertanding dengan pulang tanpa sebarang mata.
Pemain-pemain Harimau Muda tidak mempunyai semangat seperti pemain Garuda Muda dan sering melakukan kesilapan demi kesilapan yang sama dengan memberikan lawan sepakan penalti dalam setiap perlawanan sehingga kelihatan seperti sebuah pasukan amatur.
Masih belum terlambat untuk berubah. Nilai jati diri perlu disemai semula dan bukan gaya diri yang seharusnya dibanggakan. Tidak perlu belajar jauh, cukup untuk menoleh kepada negara jiran sahaja dan lihat sendiri apa yang boleh dilakukan. Fikir-fikirkanlah.