PASUKAN kebangsaan dijangka akan menerima seorang lagi pemain warisan Malaysia, seperti yang diberitahu oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin.
Walaupun impian untuk menyaksikan Mats Deijl, pemain utama Go Ahead Eagles, menyertai pasukan kebangsaan tidak kesampaian, namun usaha yang ditunjukkan FAM masih belum terpadam.
Berikutan kisah Mat Deijl, pemain berusia 27 tahun itu gagal bersama skuad kebangsaan kerana dia tidak dapat memenuhi syarat FIFA, memandangkan hubungannya dengan Malaysia hanya melalui moyangnya.
Dengan itu, FAM terus giat mendapatkan pemain bertaraf antarabangsa untuk memperkuatkan Harimau Malaya. Hamidin turut mendedahkan bahawa ada pemain lain yang sedang dalam proses untuk menyertai pasukan.
Detik penantian peminat untuk melihat Wan Kuzain beraksi bersama Malaysia mungkin bakal menjadi kenyataan apabila Hamidin mengesahkan bahawa pemain tersebut akan mewakili negara.
“Sepatutnya kali ini (Pestabola Merdeka), Wan Kuzain dah sertai kem Malaysia. Beliau telah menghubungi saya beberapa bulan lalu namun nasib tidak baik kerana Wan Kuzain sedang cedera.
“InsyaAllah selepas pulih dari kecederaan, beliau akan datang, dapat pasport dan bermain untuk Malaysia,” jelasnya ketika ditemui di Wisma FAM tempoh hari.
Hamidin turut mengesahkan bahawa beliau telah menjalin hubungan dengan Kuzain selama beberapa bulan, dan inisiatif berkenaan telah membuka jalan untuk menerima kehadiran pemain berkualiti dalam skuad kebangsaan.
Harimau Malaya seterusnya akan berdepan India dalam perlawanan persahabatan yang dijadualkan berlangsung pada November ini.