PERSATUAN Bola Sepak Bahrain (BFA) meluahkan rasa kesal dan mengecam keras tindakan tidak bertanggungjawab penyokong bola sepak Indonesia yang melancarkan serangan siber terhadap persatuan itu.
Insiden itu berlaku terhadap pemain-pemain pasukan kebangsaan Bahrain selepas perlawanan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia FIFA 2026 antara Bahrain dan Indonesia pada 11 Oktober lalu.
Dalam kenyataan media, BFA menyifatkan tindakan itu sebagai tidak mencerminkan semangat sukan yang sebenar.
Menurut BFA, laman web rasmi dan akaun media sosial persatuan itu serta pemain pasukan kebangsaan telah menjadi sasaran penghinaan, ugutan, dan cubaan penggodaman.
“Ini adalah langkah yang tidak boleh diterima kerana ia tidak melambangkan nilai-nilai murni sukan yang seharusnya menyatukan masyarakat dari pelbagai negara,” kata kenyataan itu.
Persatuan turut menegaskan akan melaporkan insiden ini kepada FIFA dan AFC untuk memastikan keselamatan ahli pasukan Bahrain ketika perlawanan timbal balik di Jakarta nanti.
BFA merancang untuk memohon agar perlawanan tersebut dipindahkan dari Indonesia bagi melindungi keselamatan para pemain.
“Keselamatan pasukan adalah keutamaan kami, dan ancaman sebegini adalah tidak wajar dalam arena bola sepak.”
Lebih membimbangkan, BFA menyatakan bahawa pemain-pemain mereka telah menerima ancaman bunuh melalui akaun media sosial peribadi mereka. Persatuan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak menghargai nyawa manusia dan bertentangan dengan semangat kesukanan.
Selain itu, BFA juga mendedahkan bahawa mereka telah menyediakan kemudahan untuk kemasukan lebih 2,000 penyokong Indonesia ke Bahrain bagi menyokong pasukan mereka ketika perlawanan berlangsung, serta memastikan penyokong diberi ruang yang selesa di stadium.
Sebagai tindak balas, BFA berhasrat untuk membawa isu ini ke peringkat antarabangsa, melibatkan organisasi hak asasi manusia dan Islam serta badan-badan wartawan untuk mendedahkan ancaman yang dihadapi pasukan Bahrain dan memulihkan imej bola sepak yang dicemari oleh insiden ini.