TULAR foto yang dimuat naik di laman rasmi Instagram Johor Darul Ta’zim (JDT), menyaksikan sosok bekas pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe yang bergambar mesra bersama keluarga Harimau Selatan.
Hantaran demikian jelas mencuri perhatian para peminat bola sepak tempatan dan tercetusnya pelbagai tanda tanya serta spekulasi yang cuba mengaitkan jurulatih berusia 56 tahun itu bersama JDT.
ARTIKEL BERKAITAN:
Cheng Hoe bakal pertimbang untuk pulang ke Liga Malaysia
Foto yang menjadi bualan netizen itu diambil selepas skuad Harimau Selatan berjaya merekodkan kemenangan 3-0 keatas juara Liga Korea, Ulsan Hyundai hasil jaringan Arif Aiman, Oscar Arribas dan juga Bergson Da Silva.
“Kenapa ada TCH di situ…
“TCH buat apa ya kat situ…
“Welcome to JDT, TCH…” antara komen-komen pelayar social media di kiriman berkenaan.
Cheng Hoe yang sebelum ini berkelana ke Thailand untuk membimbing pasukan Police Tero pada awal musim 2024 akhirnya bertukar status sebagai agen bebas setelah skuadnya tersingkir ke saingan Thai League 2.
Jodohnya yang tidak panjang bersama pasukan itu telah membuatkan dirinya terpalit dengan khabar angin yang mengaitkan kelab-kelab di Liga Malaysia yang sedang memburu khidmat ketua jurulatih.