PENJAGA gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Andoni Zubiaurre mengakui sikap percaya kepada sesiapa pun pertahanan yang bermain di hadapannya menjadi kunci dia berjaya mengekalkan ‘clean sheet’ dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim.
Zubiaurre yang bermain dalam semua perlawanan ACLE musim ini masih kebal di laman sendiri selepas JDT menewaskan Shanghai Shenhua dan Ulsan HD masing-masing dengan keputusan 3-0.
Dia juga tidak merasakan masalah bahasa menjadi kekangan komunikasi pemain di atas padang kerana semuanya sudah memahami cara permainan masing-masing dan tahu apa yang perlu dilaksanakan ketika di dalam padang.
“Semestinya saya sangat gembira dengan dua ‘clean sheet’ ini yang dapat membantu pasukan meraih kemenangan lebih-lebih lagi dihadapan penyokong sendiri dan ianya satu perasaan yang sangat hebat.
“Komunikasi di dalam padang sangat baik dan saya cuba pelbagaikan bahasa dengan bercakap Bahasa Inggeris dan Bahasa Sepanyol kepada rakan-rakan sepasukan walaupun kadang kala sukar untuk mendengar kerana sorakan penyokong yang kuat.
“Semua pemain mahu bermain dalam perlawanan di tahap ini tetapi saya percaya dengan semua rakan-rakan sepasukan tidak kira siapa pun yang diletakkan sebagai pertahanan kerana kami fokus dan sering berikan yang terbaik,” katanya selepas perlawanan.
Pemain kelahiran Sepanyol itu turut berterima kasih kepada puluhan ribu penyokong yang hadir yang dianggap menjadi tulang belakang pasukan untuk memberikan aksi yang lebih baik.
“Terima kasih kepada para penyokong yang hadir. Kami dapat rasakan sokongan anda ketika bermain dan berharap ianya dapat diteruskan dalam setiap perlawanan kerana suasana stadium ini sungguh menakjubkan,” jelasnya.
Meskipun hanya bermain di Liga Juara-Juara AFC Elite, namun Zubiaurre tetap menerima saingan sengit daripada Syihan Hazmi, Farizal Marlias dan Izham Tarmizi yang sentiasa memastikan dia tidak selesa untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.