TIMBALAN Pengerusi Jawatankausa Bola Sepak Wanita merangkap Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah melihat penglibatan mereka pada Kejuaraan Wanita AFF B-19 2023 di Palembang, Indonesia baru-baru ini sebagai satu perkembangan positif meskipun tersingkir awal.
Menurut Maisarah, dia tidak mahu menganggap sebagai satu kegagalan sebaliknya melihat dari sudut positif kerana perlu diakui pasukan bola sepak wanita negara memperlihatkan satu perkembangan yang cukup baik dan kini berada di landasan tepat.
“Saya tidak mengatakan kami gagal tapi ia satu perkembangan yang positif. Satu perubahan yang kita boleh nampak adalah komitmen serta kesungguhan yang diberikan pemain bola sepak wanita.
“Kita boleh nampak perkembangan positif dalam bola sepak wanita. Bukan kami di FAM sahaja yang melihat perubahan itu tetapi peminat dan ibu bapa di luar sana juga sudah ada perubahan apabila mereka turut memberi sokongan penuh,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mahu elemen sains sukan diterapkan dalam pasukan bola sepak wanita bagi memastikan ianya selari dengan perkembangan bola sepak moden yang bergerak sangat laju.
“Mungkin kita boleh tambah beberapa perkara dalam pasukan seperti ‘fitness training’ dan dari segi peralatan dan kelengkapan yang boleh digunakan untuk mengukur kemajuan pemain dan menyokong pembangunan bola sepak itu sendiri,” jelasnya.
Sementara itu, dia turut mengakui saingan Liga Wanita Nasional (LWN) yang akan membuka tirai 23 Julai ini menjanjikan aksi yang cukup sengit dan menarik untuk disaksikan dan berharap semua pemain dapat bersaing secara sihat.