DI saat suara perjuangan mempertahankan pemain warisan masih lantang kedengaran, bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad tampil dengan pandangan berbeza — menyeru FAM untuk menerima keputusan FIFA dan tidak memanjangkan isu tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Menurut Azzuddin, ketika beliau berada dalam organisasi itu, isu naturalisasi tidak pernah menjadi satu cabaran rumit sehingga membawa risiko hukuman antarabangsa seperti yang berlaku ketika ini. Katanya, hakikat bahawa rayuan FAM telah ditolak menandakan bukti yang dikemukakan oleh FIFA adalah jelas dan sukar disangkal.

“Segala bukti sudah tertera. Ini bukan soal siapa mahu melawan atau siapa mahu menuding jari. Kalau dokumentasi diminta dan kita tak boleh buktikan, itu satu persoalan besar. Pada pandangan saya, kita terima sahajalah. Mengaku ada kesilapan berlaku,” katanya.

Beliau menyuarakan kebimbangan bahawa meneruskan langkah mencabar keputusan itu di CAS bukan sahaja menelan belanja yang besar, tetapi juga berisiko mendatangkan kesan lebih buruk — termasuk kemungkinan FAM sendiri digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak antarabangsa.

“Kalau FAM digantung, habislah liga kita terhenti. Pasukan pun akan terjejas. Banyak pihak yang akan menerima akibatnya. Kita tak mahu sampai bola sepak negara ‘diam’ setahun hanya kerana mahu melawan sesuatu yang sudah terbukti.”

Azzuddin juga berkata, memanjangkan isu ini hanya akan mengaitkan lebih banyak jabatan kerajaan seperti pendaftaran dan imigresen, yang boleh menjadikan keadaan bertambah rumit serta menjejaskan imej Malaysia di mata dunia.

“Lebih baik kita ‘own up’, kita akui ada kelemahan, kita mohon maaf. Dunia akan hormat jika kita telus. Kita ambil iktibar untuk masa depan. Duit berjuta untuk bawa ke CAS itu lebih baik salur kepada pembangunan akar umbi dan selesaikan tunggakan gaji pemain dalam negara kita sendiri.”

Ketika perdebatan terus memuncak antara pihak yang mahu meneruskan perjuangan ke CAS dan pihak yang mahu menutup buku, kenyataan Azzuddin ini membuka satu lagi dimensi — bahawa dalam perjuangan, ada waktunya kekalahan harus diterima bukan sebagai mengalah, tetapi sebagai langkah memulihkan maruah.