ACARA rumah terbuka ‘open house’ semasa Hari Raya Aidilfitiri adalah perkara yang paling dinanti-nantikan oleh seorang pemain import Kuching City FC, Yuki Tanigawa yang baharu sahaja memeluk Islam pada tahun lalu.
Pemain yang sudah bergelar suami kepada seorang gadis Sarawak turut menyifatkan, tradisi Aidilfitri di Malaysia adalah sangat sempurna dan cukup indah, tambah lagi dengan acara rumah terbuka yang menghimpunkan ramai individu, termasuklah mereka yang memegang agama lain.
Aidilfitri tahun ini merupakan sambutan kali kedua buat Yuki, setelah dirinya terbuka hati untuk memeluk Islam secara rasmi pada bulan suci, Ramadan tahun lalu.

Yuki Tanigawa gambarkan Aildilfitri di Malaysia sangat indah.
Jelasnya, kehadiran isteri sangat membantu dirinya dalam memahami dan mempelajari lagi selok belok agama, serta mendalami tradisi perayaan Aidilfitri sebagai seorang Muslim.
“Saya hanya ikut segala yang diaturkan oleh isteri. Saya juga masih cuba untuk mendalami tentang sambutan ini kerana ini masih baharu buat saya. Saya sudah berada di sini selama empat tahun, namun ini adalah raya Aidilfitri yang kedua.
“Saya paling teruja untuk menunggu jemputan rumah terbuka daripada kawan-kawan dan jurulatih saya. Saya sangat suka pergi ke rumah terbuka kerana di sana sangat meriah dan banyak makanan yang sedap.

Kek lapis dan rendang merupakan antara makanan kegemaran Yuki Tanigawa semasa perayaan.
“Saya gemar makanan-makanan di Malaysia ini, dan antara yang menjadi kegemaran saya sekarang adalah kek lapis dan rendang,” kongsi Yuki kepada FLASH SUKAN.
Walaupun fokus Yuki pada perayaaan lebih kepada acara rumah terbuka, namun dirinya tidak terlepas untuk membuat persiapan lengkap menjelang Hari Raya 2024 ini.
Yuki mendedahkan bahawa dia dan pasangan sudah mempunyai tiga pasang baju raya yang berwarna putih, hitam dan hijau untuk disarung semasa hari penuh bermakna itu.