PELUMBA berbasikal trek negara akan dipastikan berada pada tahap terbaik pada temasya Sukan Asia kelak, biarpun berdepan jadual perlumbaan padat.

Ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley berkata, pelumba negara terutamanya Datuk Azizulhasni Awang akan dipastikan tidak berdepan kekecewaan sebagaimana ditempuhi pada Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos lalu.

Menurut Beasley, sebagai tuan rumah, China akan melakukan segala-gala yang mampu bagi memastikan atlet mereka mempunyai kelebihan pada temasya itu, dan perkara sama juga berlaku kepada acara berbasikal trek.

Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, John Beasley akan pastikan pelumba negara berada di tahap kecergasan terbaik pada Sukan Asia Hangzhou.

Justeru katanya, percaturan strategi serta aspek fizikal anak buahnya akan dipastikan pada tahap terbaik.

“Kami akan berada dalam keadaan yang lebih baik (di Sukan Asia), kami tahu jadual itu tidak ideal seperti format Sukan Olimpik tetapi kami akan tetap mengharunginya.

“Jika kami berjaya mara ke suku akhir acara pecut, pelumba akan berentap sebanyak tiga pusingan, namun saya yakin pelumba kita akan habiskannya dalam dua pusingan sahaja, dan kemudian di peringkat separuh akhir perkara yang sama juga akan berlaku dan seterusnya peringkat akhir.

“Anda mungkin akan berhadapan kemungkinan minima enam perlumbaan ataupun jika lebih teruk, sembilan perlumbaan dalam tempoh sehari, itu adalah jumlah yang banyak. Apa pun kami akan cuba menghadapinya satu persatu, dan memantau keadaan Azizul, setakat ini dia dalam keadaan yang terbaik,” kata Beasley.

Barisan pelumba basikal trek negara ke Sukan Asia Hangzhou, bertemu CDM Dato’ Chong Kim Fatt di Veledrom Nasional, Nilai.

Tambah beliau, setiap negara yang menganjurkan temasya sukan, akan memastikan atlet mereka lebih selesa dengan format yang disusun, malah China dan Jepun, negara besar yang mempunyai ramai pelumba dalam setiap acara dan boleh menggunakan pelumba berbeza bagi setiap acara terutamanya pecut dan keirin.

“Kita pula tidak mempunyai pilihan sebegitu kerana dua pelumba kita (Azizulhasni dan Shah Firdaus Sahrom) akan beraksi untuk kedua-dua acara pecut dan keirin,” katanya.

Acara berbasikal trek akan mempertaruh 12 pingat emas dan dilangsungkan selama tiga hari sahaja bermula pada 26 hingga 29 September di Velodrom Pusat Sukan Chun’an Jieshou.

Datuk, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan beberapa lagi pelumba negara mempamer prestasi cemerlang di ACC 2023.

Pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2023 di Glasgow, Scotland, bulan lalu, iaitu aksi terakhir Azizulhasni, The Pocket Rocketman itu gagal meraih sebarang pingat berikutan sukar melalui proses pemulihan dan tersilap strategi berikutan jadual perlumbaan padat.

Azizulhasni meraih satu pingat emas menerusi acara pecut pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 selain turut meraih pingat perak (pecut berpasukan) dan gangsa untuk acara keirin.

Selain Azizulhasni dan Shah Firdaus, skuad berbasikal negara turut dibarisi sembilan lagi pelumba iaitu Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Muhammad Ridwan Sahrom, Muhammad Yusri Shaari, Abdul Azim Aliyas, Umar Hasbullah, Anis Amira Rosidi, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Nurul Aliana Syafika Azizan serta Yong Ann Yii.