PERHATIAN yang diberikan kepada Special Olympics Malaysia (SOM) semakin meningkat naik selepas diletakkan dibawah penjagaan Majlis Sukan Negara (MSN) mulai tahun lalu.

Menurut Menteri Belia & Sukan, Hannah Yeoh berkata sokongan dari pihak swasta amat membantu dalam pembangunan sukan bagi kumpulan atlet khas dalam SOM.

“Sekarang ini dibawah penjagaan MSN kita ada atlet Olimpik, atlet Paralimpik, atlet Deaflimpic dan yang terbaru kita telah mula menyokong Special Olympics Malaysia. Sebab itu kita menyambut baik usaha MST Golf dan Toyota untuk bersama-sama membangunkan atlet SOM dan usaha seperti ini bagus kerana mempunyai fokus untuk selain atlet berkenaan akan diberikan latihan dan peluang untuk bermain golf.

“Apabila MSN diberikan tugas untuk menjaga empat kumpulan ini, banyak lagi dana diperlukan untuk pembangunan sukan bagi kumpulan masing-masing dan saya pasti kalau kita tak cukup dana, bantuan daripada pihak swasta sangat membantu.

“Jadi saya berharap semua syarikat di luar kalau ada yang berminat untuk menaja tapi mereka tidak tahu mana nak mula, mereka boleh datang jumpa MSN dan kita boleh berbincang untuk mereka menaja mengikut kemampuan atau memilih atlet yang mereka minat,” katanya selepas ditemui media.

Pengarah Kebangsaan SOM, Kok Lee Min pula berkata, pihak mereka akan menyediakan atlet untuk kejohanan seterusnya seterusnya pada 2027 nanti dan berharap atlet akan tampil lebih cemerlang di sana terutama sukan golf.

“Kami memberi tumpuan kepada persediaan untuk Special Olympics World 2027 di Chile danmenyasarkan untuk bersaing dalam acara tahap 3 dan 4, termasuk 9 lubang dan 18 lubang golf, “katanya.

Malaysia pernah menghantar 22 atlet ke Special Olympic World Games di Berlin pada 2023 dan berjaya memenangi empat emas, lima perak dan sembilan gangsa.