“ROBERT J Ballard, mampu memacu kecemerlangan kem olahraga negara.”

Pelari pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli yang teruja dengan kembalinya Ballard sebagai Pengarah Teknikal Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berkata, kredibiliti Ballard tidak boleh dipersoalkan kerana berpengalaman luas selain cukup kenal senario olahraga negara.

“Saya sebenarnya agak terkejut bila dapat tahu, Robert Ballard kembali ke Malaysia. Kalau tanya saya ia satu perkembangan yang bagus buat skuad olaharaga negara.

Robert Ballard dijangka memulakan tugas bersama KOM pada Ogos depan.

“Sebab bagi saya beliau tahu selok-belok sukan ini sebab seperti kita tahu dia juga merupakan bekas atlet olahraga. Malah dia juga tahu apa yang diperlukan seorang atlet untuk berjaya.

“Bagi diri saya, dialah individu yang memainkan peranan penting ketika saya berjaya membuat catatan masa 11.6 saat (s). Malah kalau atlet olahraga yang ada sekarang boleh bagi komitmen 100 peratus… di bawah program yang akan dibuat olehnya, saya rasa tak mustahil mereka juga boleh lebih berjaya,” katanya.

Robert J Ballard bertanggungjawab membantu Zaidatul mencatat masa 11.6s dalam acara 100m. – Zaidatul Husniah Zulkifli.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan KOM, Datuk Mark Ling mengumumkan Majlis Sukan Negara (MSN) merestui pelantikan Ballard dan bersetuju KOM melantik semula bekas penasihat prestasi Institut Sukan Tasmania itu, bagi mengetuai barisan kejurulatihan olahraga negara.

Pengendali berusia 58 tahun itu dijangka melapor diri pada Ogos depan.

Robert Ballard bakal kembalikan maruah sukan olahraga negara

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai persiapannya menjelang Kejohanan Trek dan Balapan Asia (ATF) di Pattaya, Thailand, bulan depan, Zaidatul menjelaskan bahawa dia fokus kepada acara 100 meter (m) dan 4×100 m.

Malah katanya, dia berharap mampu membantu skuad 4x100m sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan sekali gus mencerahkan peluang untuk menamatkan saingan di kedudukan podium pada kejohanan itu.