PASUKAN Malaysia berjaya menempah slot ke siri akhir Piala Emas Star Sailors League (SSL) di Bahrain dalam perlumbaan kelayakan terakhir di Switzerland pada Ahad.
Biarpun hanya menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan, skuad negara yang digelar Monsun itu menjadi pasukan kedua dari Kumpulan 7, Pusingan ke-5 untuk layak ke siri akhir yang dijadualkan pada November, bersama Afrika Selatan selaku juara kumpulan.
Pasukan Afrika Selatan yang dikenali ‘Ubuntu’ menempah tiket ke Bahrain secara rasmi pada hari Sabtu selepas mengumpul tiga mata maksimum dalam empat perlumbaan dan memasuki hari terakhir tanpa sebarang tekanan untuk mencatat enam mata selepas menamatkan perlumbaan dengan masa 46:49 saat. Mereka muncul juara kumpulan dengan 19 mata.
“Kami melalui minggu yang hebat, segala-galanya dari dalam hingga ke luar bot berfungsi dengan baik dan bebas tekanan.
“Nama panggilan kami ialah Ubuntu, maksudnya adalah kepelbagaian, dan ia perkataan terbaik untuk menggambarkan situasi di Piala Emas SSL yang menampilkan pelbagai negara, cerita dan latar belakang yang berbeza..menarik,” ujar kapten Ubuntu, Ian Ainslie.
Mengekori kru Ainslie adalah Harimau India yang semakin garang untuk memberi Afrika Selatan cabaran sengit setelah mula cari rentak dalam pertandingan yang julung kali diadakan itu. Namun, ia sudah terlalu lambat.
Pasukan diranking ke-40 dunia itu terpaksa melupakan hasrat mereka untuk memintas Malaysia selepas membuat satu kesilapan. India melepasi garisan penamat 1:20saat dibelakang Afrika Selatan untuk menduduki tempat kedua.
Malaysia, yang merupakan pasukan tercorot dalam Kumpulan 7 di tangga ke-60 di dunia, ketinggalan 2:39 saat dibelakang pemenang kumpulan Afrika Selatan.

Aksi pasukan Malaysia. Foto: Martina Orsini | SSL Gold Cup
“Kami layak ke final di Bahrain meskipun habis di tempat ketiga tetapi ia mencukupi.
“Kami menarik India ke garisan permulaan untuk mereka duduk di belakang kami, kami tidak berikan peluang untuk mereka memintas kami tapi kami gagal mengekalkan momentum dari awal. Walaubagaimanapun kami masih layak
“Lepas ini fokus kami pada Bahrain dimana kami berazam melakukan yang lebih baik di sana dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menyokong kami,” kata jurumudi Malaysia Khairulnizam Mohd Afendy.
Pada penghujung perlumbaan empat hari yang bermula pada 14 hingga 17 Julai itu, Malaysia mengumpul 12 mata manakala India dengan 11 mata untuk tamat di tempat kedua dan ketiga secara keseluruhan.
Tarikh undian bagi penentuan kumpulan pembukaan untuk siri akhir akan diumumkan tidak lama lagi. Pasukan yang layak termasuk Ukraine, Thailand, Oman, Cuba, Peru, Chile, Portugal, Republik Czech, Slovenia, Lithuania, Estonia, Ireland, Antigua dan Barbuda dan Tahiti.