Select Page

Sukan Media MSN-SAM kembali dengan perpaduan lebih utuh

Sukan Media MSN-SAM kembali dengan perpaduan lebih utuh

SUKAN Media Majlis Sukan Negara (MSN)-Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2023 meriah, meskipun sudah enam tahun menyepi.

Acara yang kali terakhir dianjurkan pada 2016 itu, diwujudkan semula bermatlamatkan mengeratkan hubungan antara media dengan MSN.

Program sehari melibatkan para wartawan dan jurugambar sukan tanahair bersama pegawai pengurusan MSN, mendapat kolaborasi SAM.

Timbalan Ketua Pengarah MSN, Suhardi Alias berkata, karnival sehari itu dianjurkan semula bagi mengeratkan lagi hubungan antara MSN dengan rakan-rakan media.

Bermacam gaya dan gelagat apabila melihat penulis sukan bersukan.

“Media adalah pemegang taruh kita, jadi kita mahu hubungan dua hala antara kita dan media terus kukuh, sekali gus tiada halangan  yang wujud untuk media memaparkan bahan berita yang benar dan tepat.

“Kali ini kita menganjurkan karnival dalam masa sehari kerana kita memahami banyak kekangan dari segi kerja media dan juga kita kesuntukan masa kerana banyak kejohanan besar antarabangsa berlangsung setiap minggu,” kata Suhardi.

Jawatankuasa penganjur juga tidak kurang hebat… kuat menyakat.

Menurutnya, tarikh awal edisi kesembilan Sukan Media MSN, sepatutnya berlangsung pada 11 Mac lalu namun dianjakkan ke hari ini berikutan jadual padat acara sukan dalam dan luar negara.

“Kali ini, buat julung kali kita anjurkan dengan menjemput secara rasmi portal-portal sukan mengambil bahagian.

“Saya sangat gembira dengan sambutan yang kami dapat selepas 89 peserta daripada wakil media hadir memeriahkan acara.

“Penganjuran kali ini juga berbeza berbanding edisi lalu, kerana kita tidak mempertandingkan acara membabitkan persaingan menggunakan nama media masing-masing. Kita anjurkan secara karnival di bawah payung rumah sukan.”

Penuh perasaan nak shoot bola jaring…. senyum sikit.

Bertemakan perpaduan, setiap wakil media yang mengesahkan penyertaan, dipecahkan mengikut empat rumah sukan, rumah Wira yang menggunakan maskot Orang Utan, rumah merah menggunakan maskot Rimau, rumah biru menggunakan maskot Si Tumas dan rumah hijau menggunakan maskot Johan, semua maskot adalah temasya sukan seperti Komanwel, Sukan Sea dan Para Asean.

Presiden SAM, Norismadi Abd Manap bersama barisan exconya, serta beberapa ketua pengarang media termasuk Ketua Pengarang Flash Sukan, Suryati Mohd Nor turut mengambil bahagian.

 

Haa dah nak masuk tu… tapi tak masuk juga… Presiden SAM Norismadi Manap kecewa cubaan pertama bermain bola jaring tidak menjadi.

Ketua Pengarang Flash Sukan (depan) Suryati Mohd Nor turut mengambil bahagian dalam acara tarik tali.

Selepas cubaan membuat jaringan bola jaring, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berseloroh mengajak penulis sukan bermain bola sepak.

Lama difikirkan nak sepak arah mana tu.

Wartawan, Pembaca Berita TV3, Pengacara, Hasnida Hanim punca kejuaraan rumah merah.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh turut singgah merasai kemeriahan penganjuran, dan menyuarakan mahu mengajak media bermain bola sepak suatu hari nanti.

Empat acara dipertandingkan  iaitu Tarik Tali, Bola Tampar Duduk, Bola Jaring Shoot Out dan Penalti Shoot Out.

Rumah Merah mucul juara keseluruhan selepas meraih dua emas (Bola Tampar Duduk dan Bola Jaring Shot Out), satu perak (Penalti Shoot Out) dan gangsa (Tarik Tali).

Rumah Biru menang satu pingat emas dalam acara Tarik Tali, manakala Rumah Kuning menang satu emas dalam acara Penalti Shoot Out.

Acara turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang sememangnya sentiasa dinanti-nantikan.

Video Terkini

Loading...