PASUKAN Leicester City disahkan tersingkir ke Liga Satu (Divisyen 3) selepas keputusan seri 2-2 menentang Hull City menutup peluang mereka untuk kekal dalam Liga Kejuaraan.
Keputusan tersebut menyaksikan The Foxes gagal meraih kemenangan penting yang diperlukan dalam aksi di Stadium King Power, sekali gus mengesahkan penyingkiran ke divisyen ketiga bola sepak England.
Ini merupakan penyingkiran kedua berturut-turut buat Leicester dan yang ketiga dalam tempoh empat musim, menandakan kemerosotan mendadak kelab itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Lebih menyedihkan, kejatuhan itu hadir sedekad selepas kejayaan sensasi mereka menjuarai Liga Perdana Inggeris pada 2016 yang pernah mengejutkan dunia bola sepak.
Prestasi tidak konsisten sepanjang musim menjadi punca utama apabila keputusan mula merosot selepas permulaan yang agak baik di bawah kendalian bekas pengurus Martí Cifuentes.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila Leicester dikenakan pemotongan enam mata pada Februari lalu susulan pelanggaran peraturan kewangan liga.
Cifuentes kemudiannya dipecat sebelum tempatnya diambil alih oleh Gary Rowett, namun perubahan itu gagal memberi impak positif kepada prestasi pasukan.
Kekalahan kepada pencabar penyingkiran, Portsmouth sebelum ini turut meletakkan mereka di ambang kejatuhan.
Dalam tempoh sedekad lalu, Leicester pernah menikmati kejayaan termasuk menjuarai Piala FA 2021 serta layak ke saingan Eropah, namun kini berdepan realiti getir untuk membina semula pasukan.
Barisan pemain yang pernah dibarisi nama besar seperti Jamie Vardy, James Maddison dan Youri Tielemans gagal mengelakkan kejatuhan drastik kelab itu dalam tempoh singkat.
Leicester sebelum ini sempat kembali ke Liga Perdana Inggeris selepas menjuarai Liga Kejuaraan, namun perubahan pengurusan termasuk pemergian Enzo Maresca serta kegagalan pengendali seterusnya mengukuhkan prestasi menyumbang kepada kemerosotan tersebut.