Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang bersedia mengharungi cabaran apabila turun beraksi dalam Pusingan Akhir Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional, Nilai bermula Jumaat ini.

Kehadiran pelumba elit dunia termasuk juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen dijangka menjadikan saingan lebih sengit, khususnya dalam acara keirin yang menjadi tumpuan utama.

Azizulhasni mengakui tahap persaingan kali ini berada pada tahap tertinggi dan memerlukan setiap pelumba mengekalkan prestasi konsisten sepanjang perlumbaan.

Beliau menyatakan keterujaannya terhadap intensiti perlumbaan, terutama melihat prestasi Harrie Lavreysen dalam acara keirin yang cukup baik.

Menurutnya, kehadiran Lavreysen yang buat pertama kali beraksi di Malaysia pastinya menjadi tarikan utama kepada peminat tempatan untuk menyaksikan aksi pelumba elit dunia secara dekat.

Dalam masa sama, beliau turut menantikan peluang untuk kembali bersaing dengan Lavreysen selepas sekian lama tidak bertemu di pentas pertandingan.

Dalam acara keirin, pelumba perlu melalui beberapa pusingan tambahan, manakala bagi acara pecut, jumlah perlumbaan boleh meningkat sehingga sembilan sebelum ke pentas akhir jika berjaya mara tanpa kalah.

Pusingan Akhir Piala Dunia Trek akan bermula Jumaat ini di Velodrom Nasional, Nilai dan akan berlansung sehingga Ahad ini.

Sumber Gambar: FB Datuk Amarjit Singh Gill